Ceroboh tanah di Raub: PSAP minta SPRM siasat pejabat tanah, jabatan hutan - Utusan Malaysia

Ceroboh tanah di Raub: PSAP minta SPRM siasat pejabat tanah, jabatan hutan

HASLIHELMY DM Zulhasli (kanan) ketika meninjau ladang durian di Sungai Ruan, Raub, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diminta menyiasat pejabat tanah dan jabatan hutan berhubung isu pencerobohan tanah di Sungai Ruan, Raub dekat sini.

Presiden Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP), Haslihelmy DM Zulhasli berkata, SPRM tidak boleh berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dengan kegiatan rasuah atau salah guna kuasa dalam isu pencerobohan tanah kerajaan negeri yang dijadikan ladang haram di Raub.

“Dalam isu pencerobohan tanah di Sungai Ruan, PSAP meminta pihak SPRM supaya turut menyiasat pejabat tanah dan jabatan hutan.

“Isu pencerobohan tanah ini kita percaya ia bukan baharu berlaku, ia sudah lama kerana pokok-pokok yang ditebang ada yang sudah pun mengeluarkan hasil,” katanya dalam kenyataan di sini.

Terdahulu, media melaporkan sekumpulan pekebun bertindak membawa kain rentang dan menghalang laluan jentera penguatkuasa sebagai tanda protes terhadap tindakan memusnahkan pokok durian yang sudah ditanam sejak puluhan tahun. Namun begitu, keadaan berjaya dikawal tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.

Kerajaan negeri sebelum ini menafikan dakwaan melanggar perintah mahkamah ketika menjalankan operasi menebang lebih 200 pokok durian Musang King pada 8 April lalu.

Semalam, Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui dan Pengerusi Save Musang King Alliance (Samka), Wilson Chang ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kejadian menghalang penjawat awam menjalankan tugas semasa pelaksanaan ‘Op Sekat’ di Raub minggu lalu.

Penahanan itu dimaklumkan menerusi kenyataan dimuat naik di laman rasmi Facebook Yu Hui yang turut mengesahkan melalui peguam yang mewakili kedua-dua individu terbabit.

Mengulas lanjut, Haslihelmy mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri dan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail kerana bertindak tegas dalam isu pencerobohan di Sungai Ruan.

“Dengan penahanan Yu Hui, ia bukti kerajaan negeri tidak tunduk dan berpihak kepada DAP walaupun berada dalam satu kerajaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN