PETALING JAYA: Calon berimej dan berlatar belakang pendidikan agama bukan menjadi tiket dan jaminan bagi meraih sokongan pengundi terutama dalam kalangan generasi muda termasuk pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning nanti.
Penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof. Dr. Mohd. Azizuddin Mohd. Sani berkata, pengundi masa kini dilihat lebih memilih individu yang dirasakan mampu memberikan khidmat terbaik sebagai wakil rakyat.
“Sebelum ini mungkin ada kelebihan namun pengundi sekarang mahu melihat siapa yang mampu beri perkhidmatan terbaik sebagai seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau ahli Parlimen,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Beliau bagaimanapun menjangkakan, calon berimej sedemikian akan tetap menjadi pertaruhan parti politik pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) nanti.
Katanya, perkara berkenaan dilihat antara keperluan penting bagi seseorang calon yang mahu bertanding di kawasan majoriti Melayu.
Pada PRK Ayer Kuning, 26 April ini, Barisan Nasional (BN) menampilkan Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, Dr. Mohamad Yusri Bakir sebagai calon mereka manakala Perikatan Nasional (PN) menampilkan Pengerusi PN Tapah, Abdul Muhaimin Malek.
Dalam pada itu, penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, Dr. Mazlan Ali berkata, calon PN tidak mampu memberi saingan sengit terhadap BN walaupun berimej agama.
Menurutnya, strategi pembangkang meletakkan Abdul Muhaimin juga mungkin tidak menaruh harapan bukan sahaja kepada pengundi Cina dan India malah pengundi Melayu.
“Calon Pas di Ayer Kuning tiada tarikan melainkan PN meletak ustaz selebriti . Tambahan pula, dia tidak dikenali sangat dan tidak mampu memberi impak (sokongan) kepada PN,” jelasnya.-UTUSAN.