KUALA LUMPUR: Majlis pengumuman calon bagi Pemilihan PKR Cabang Cheras kelmarin dicemari insiden pergaduhan melibatkan dua kumpulan penyokong.
Calon Naib Ketua Cabang Cheras, S. Tanabalan mendakwa kejadian di Wisma KTC, Seputeh di sini itu berlaku selepas pengumuman calon-calon yang bertanding dan diikuti sorakan dalam kalangan penyokong calon yan bertanding.
“Selepas turun pentas, seorang wakil calon dari kem lawan menghampiri kami dan tidak berpuas hati dengan slogan yang dilaungkan sebelum menumbuk setiausaha kami.
“Penyokong kedua-dua kem cuba meredakan suasana tegang itu. Namun, individu tersebut kembali memasuki dewan bersama sekumpulan pemuda dan mengugut untuk meneruskan pergaduhan di luar,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Bagi mengelak keadaan menjadi lebih tegang, Tanabalan memberitahu dia bersama mangsa membuat laporan di Balai Polis Brickfields di sini pagi semalam.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) dan Lembaga Disiplin Parti untuk mengambil tindakan tegas terhadap pelaku kejadian tersebut bagi mengelakkan insiden sama berulang.
Pemilihan PKR bagi cabang-cabang di Wilayah Persekutuan yang akan diadakan serentak secara dalam talian dan fizikal bakal berlangsung 19 April ini.-UTUSAN.