SHAH ALAM: Bekas Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pentadbiran Undang-Undang Syariah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) didakwa atas tujuh pertuduhan di bawah kesalahan penggubahan wang haram berjumlah RM325,850.83 di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Malah, dia turut dituduh menerima RM5,140 berhubung kerja-kerja rasmi urusan pendaftaran nikah luar negara.
Tertuduh, Muhammad Hafeez Abu Seman, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesemua sembilan pertuduhan selepas ia dibacakan ke atasnya oleh jurubahasa.
Mengikut tujuh pertuduhan pertama pertuduhan dia didakwa memiliki menerima RM162,990, memindahkan RM101,871.31 dan memiliki RM60,989.52 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram. Kesemua transaksi itu melibatkan akaun bank miliknya.
Bagi dua pertuduhan lagi, Muhammad Hafeez dituduh menerima sebanyak RM5,140 yang mana diketahui ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya bagi urusan pernikahan luar negara di bawah Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2006.
Kesemua kesalahan itu dilakukan antara 5 April 2022 hingga 10 Jun tahun lalu dekat dua buah cawangan bank berbeza di Damansara Utama dan Kajang.
Justeru, dia dituduh di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFPUAA) 2001 dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan (KK).
Sabit kesalahan, beliau boleh dipenjara sehingga 15 tahun, denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram atau RM5 juta atau mana yang lebih tinggi di bawah AMLATFPUAA serta penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan di bawah Seksyen 165 KK.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ahmad Fariz Abdul Hamid kemudian menawarkan jaminan sebanyak RM300,000 bagi tujuh pertuduhan di bawah Akta 613 manakala RM10,000 untuk dua pertuduhan di bawah Akta 574.
Ahmad Fariz turut memohon mahkamah untuk memindahkan kes ke Mahkamah Sesyen Kangar berikutan kesemua saksi kes tinggal atau berada di Perlis.
Peguam yang mewakili Muhammad Hafeez, Adenan Ismail memohon Mahkamah mengurangkan wang jaminan ke atas anak guamnya memandangkan dia mempunyai lima orang anak yang masih di bawah tanggungnya.
Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin kemudiannya menetapkan wang jaminan berjumlah RM38,000 dengan dua orang penjamin dan tertuduh perlu melaporkan diri di pejabat SPRM berdekatan sekali setiap bulan.
Beliau juga membenarkan kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kangar dan menetapkan sebutan semula kes pada 20 Mei ini. – UTUSAN