KOTA BHARU: Tindakan peniaga Bazar Raya Aidilfitri yang tidak mengikuti arahan urus niaga dan pengoperasian sehingga pukul 12 tengah malam pada malam 1 Syawal lalu menganggu jadual pungutan sampah.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah berkata, operasi perniagaan yang berlanjutan sehingga pukul 4 pagi menyebabkan kakitangan pembersihan tidak mampu untuk menguruskan sampah sarap yang meningkat sekali ganda daripada kebiasaan.
“Kita kena fikir satu kaedah supaya peniaga dapat menutup urus niaga lebih awal untuk memudahkan kerja-kerja pengurusan sampah.
“Di mana-mana sekalipun, sepatutnya semua operasi perniagaan ditutup pukul 10 malam namun kita telah melanjutkan sedikit masa untuk memberi kelonggaran kepada orang ramai mencari persiapan raya,”katanya kepada pemberita semasa sidang media Program Rumah Terbuka Pas Kelantan di Bilik Mesyuarat Stadium Sultan Muhammad Ke IV, di sini, hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) menetapkan urus niaga dan operasi di Bazar Raya Aidilfitri setakat pukul 12 tengah malam.
Mengulas lanjut, Hilmi memberitahu jumlah kutipan sampah yang dikutip di Kelantan sejak Adilfitri meningkat lebih sekali ganda berbanding hari biasa.
Katanya, sebelum ini jumlah sampah yang dihasilkan oleh penduduk adalah antara 200 tan metrik sehari, namun ketika Adilfitri ia meningkat sehingga 400 tan metrik sehari.-UTUSAN