Bantuan mangsa tragedi Putra Height dinaikkan kepada RM5,000, RM10,000

Bantuan mangsa tragedi Putra Height dinaikkan kepada RM5,000, RM10,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Bantuan kepada 613 keluarga mangsa kebakaran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights dinaikkan sebanyak RM2,500 dan RM5,000 menjadi RM5,000 dan RM10,000 selepas menerima tambahan dana daripada Petronas.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, bantuan tersebut diserahkan mulai hari ini kepada 219 penerima pertama selepas proses pengesahan maklumat dilakukan apabila pendaftaran mangsa di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) ditutup pada pukul 6 petang

“Sumbangan itu akan diselaraskan oleh kerajaan negeri dan diserahkan bermula hari ini. Sumbangan bagi rumah yang rosak keseluruhan akan menerima RM5,000 daripada Petronas dan RM5,000 lagi daripada Kerajaan Persekutuan, maknanya keseluruhan diterima sebanyak RM10,000.

“Manakala rumah yang terkesan dan penyewa akan menerima RM2,500 daripada Petronas dan RM2,500 lagi daripada Kerajaan Persekutuan, justeru mereka akan mendapat RM5,000 keseluruhan,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Tambahnya, penyerahan bantuan tersebut akan diselesaikan sehingga Jumaat ini selepas pengesahan laporan kehadiran mereka ke PPS dilakukan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (PBD).

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bantuan segera kepada mangsa kebakaran paip gas di sana sebanyak RM2,500 dan RM5,000.

Bantuan tersebut diberikan kepada mangsa yang kehilangan tempat tinggal akibat kebakaran rumah dan mangsa yang terjejas di Taman Putra Harmoni dan Kampung Kuala Sungai Baru.

Sementara itu, kata Amirudin, kerja-kerja penstabilan tanah di kawasan ground zero akan dilakukan bermula petang ini sebelum kajian teknikal dilaksanakan bermula 15 April bagi menyiasat dan mengenal pasti punca sebenar kebakaran.

“Itu (pematuhan kerja korek tanah mematuhi prosedur) biarlah badan penyiasatan yang lakukan (siasat). Sekarang polis sudah semakin jelas dalam laporan semalam untuk melihat faktor-faktor lain termasuklah kesan-kesan sekeliling dan sebagainya,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN