Banjir semalam disifatkan terburuk selepas 2021

Banjir semalam disifatkan terburuk selepas 2021

Banjir terburuk
SITI Zulaikha Sironi menunjukkan sofa dekat rumahnya ditenggelami air, di Padang Jawa, Shah Alam, Selangor, semalam. - UTUSAN / MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Insiden banjir yang melanda Kampung Padang Jawa dan kawasan sekitar dianggap sebagai terburuk sejak tragedi bah besar pada 2021.

Menurut Siti Zulaikha Sironi, kali ini air naik sehingga paras lutut masuk ke dalam rumahnya susulan hujan lebat lebih tiga jam pada awal pagi semalam.

“Cuma kali ini, hujan tidak turun dalam tempoh yang terlalu lama seperti kejadian pada Disember 2021. Namun, susulan tragedi tersebut kebimbangan tak pernah hilang lebih-lebih lagi bila berdepan situasi hujan lebih dua jam.

“Bagaimanapun, kami berharap air terus surut dan cuaca cerah pada hari-hari mendatang,” katanya ketika ditemui di Jalan Mat Raji.

Selain itu, dia turut berkongsi detik cemas dialaminya ketika dia dan keluarga sedang tidur, namun terjaga kira-kira pukul 4 pagi selepas terdengar bunyi curahan air hujan.

“Ketika itu saya sangka hujan kejap, tetapi bila meninjau halaman rumah kelihatan air naik dan membanjiri bahagian hadapan.

“Tengok situasi, saya dan suami terus alihkan sebuah kereta dan dua buah motosikal ke tempat yang lebih tinggi,” katanya yang menyewa di Padang Jawa sejak tahun 2018.

Sementara itu, seorang lagi penduduk Mohd. Firdaus Shahak berharap kerajaan boleh menyegerakan pembinaan projek tebatan banjir yang direncanakannya sebelum ini.

Ujar anak jati kampung itu, dia tidak lagi sanggup mengharungi episod sama setiap kali hujan lebat berlaku.

“Saya tidak menafikan pembangunan sedikit sebanyak menjadi faktor kepada bencana. Cuma berharap setiap projek pembinaan yang dibuat, mesti ada saluran perparitan yang besar bagi membolehkan air mengalir keluar ke sungai.

“Kebanyakan penduduk di sini bukannya orang senang. Jadi, memang sakit untuk mereka untuk beli barang kelengkapan rumah yang baharu sekiranya barang mereka rosak akibat dimasuki air,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya