KLANG: Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Meru di sini, meningkat kepada 215 orang.
Kesemua mangsa daripada 52 buah keluarga itu berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Binjai setakat pukul 5 petang ini.
Berdasarkan maklumat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Klang, mereka terdiri daripada 66 lelaki dan 69 wanita dewasa, kanak-kanak lelaki (43), kanak-kanak perempuan (35) dan dua bayi perempuan.
Jumlah itu turut melibatkan 20 warga emas dan 19 Orang Kurang Upaya (OKU) yang ditempatkan di dua blok sekolah tersebut.
Penduduk terjejas antaranya melibatkan Taman Sri Jaya, Taman Meru Indah, Jalan Kenangan, Jalan Cempaka, Jalan Teratai dan beberapa kampung lain.
Terdahulu, seramai 134 mangsa mendaftar masuk ke PPS itu yang mula dibuka dan diaktifkan sepenuhnya pukul 6.45 pagi.
Tinjauan Utusan Malaysia petang tadi mendapati petugas JKM mengedarkan bekalan air minuman, bantal, selimut, cadar kepada penghuni PPS tersebut.
Beberapa kawasan seperti Jalan Kenangan dan Jalan Cempaka didapati masih dinaiki air yang dikategorikan sebagai banjir ‘termenung’.
Terdahulu, beberapa kawasan di Meru dikejutkan dengan kejadian banjir kilat awal pagi selepas hujan lebat berterusan sejak tengah malam tadi.
SK Sungai Binjai antara enam PPS yang diaktifkan di Selangor dengan jumlah mangsa banjir kini melebihi 1,000 orang di tiga daerah terlibat. – UTUSAN