Banjir di Petaling, Klang akibat hujan lebat, air pasang

Banjir di Petaling, Klang akibat hujan lebat, air pasang

Hujan lebat air pasang
MOHD. Najwan Halimi meninjau keadaan rumah yang dinaiki air dekat Kampung Padang Jawa, Seksyen 16, di Shah Alam, Selangor. - UTUSAN / MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Insiden banjir yang melanda kawasan-kawasan perumahan di sekitar daerah Petaling dan Klang semalam dipercayai susulan hujan lebat sejak tengah malam dan diikuti dengan air laut pasang kira-kira pukul 5 pagi.

Antara kawasan terjejas dengan kedalaman air sekitar 0.5 hingga satu meter seperti di Taman Sri Muda dan Kampung Padang Jawa, di sini; Kampung Tengah, Subang; Kampung Seri Aman, Puchong serta Meru, Klang.

Susulan itu, kira-kira 1,000 mangsa terjejas akibat bencana tersebut apabila lebih 200 keluarga dilapor dipindahkan di enam Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di dua daerah tersebut iaitu di Dewan Azalea, Dewan Bunga Bakawali, Dewan Kenanga dan Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 16 di Shah Alam.

Di Klang, PPS di buka di SK Sungai Binjai, Meru, sementara di Subang Jaya, Dewan Camelia dibuka bagi menempatkan mangsa banjir yang tinggal di Kampung Tengah dan kawasan sekitar Putra Heights.

Tinjauan Utusan Malaysia di Padang Jawa pada hari sama mendapati lebih 50 rumah di Kampung Padang Jawa dinaiki air sehingga paras lutut.

Malah terdapat sebuah rumah satu tingkat yang hampir ditenggalami air sepenuhnya akibat rumah tersebut dibina di kawasan rendah.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pengurusan Bencana, Mohd. Najwan Halimi berkata, kejadian banjir yang berlaku pada kali ini berpunca daripada hujan berterusan lebih lima jam disusuli fenomena air pasang besar yang berlaku.

“Kesan daripada fenomena ini menyebabkan air laut dan sungai melimpah ke beberapa kawasan darat di daerah Klang dan Petaling.

“Kami jangkakan hujan pada sebelah petang atau malam. Sekiranya jumlah mangsa banjir bertambah, kami akan membuka lebih banyak PPS,” katanya ketika ditemui pemberita, semalam.

Sementara itu, Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar memaklumkan, pemerhatian bomba susulan hujan lebat semalam menunjukkan tren paras air menurun di kebanyakan lokasi yang terjejas.

“Keadaan air dilihat menaik secara perlahan di Kampung Padang Jawa menjejaskan 20 rumah, namun tiga mangsa dibawa keluar. Trend air statik di Kampung Tengah, Subang dan Taman Seri Jaya,” jelasnya.

Tambahnya, air pasang sekitar 1.46 meter direkodkan pada pukul 5.37 pagi di Stesen Ramalan Air Pasang Surut Pelabuhan Klang dan surut sepenuhnya pada 11.46 pagi sebelum kembali pasang pada pukul 5.49 petang semalam.

Dalam tragedi tersebut, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim memberitahu, seorang lelaki warga Sri Lanka maut akibat terkena renjatan elektrik dekat sebuah stor barang binaan di Taman Alam Indah, Seksyen 25.

Mayat mangsa berusia 27 tahun itu ditemukan orang awam yang segera menghubungi polis pukul 10.51 pagi. Turut dijumpai, seekor anjing yang mati berada di sisi mayat berkenaan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati premis itu merupakan stor yang turut dijadikan tempat tinggal mangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya