SHAH ALAM: Insiden banjir yang melanda kawasan-kawasan perumahan di sekitar daerah Petaling dan Klang dipercayai susulan hujan lebat sejak tengah malam tadi dan diikuti dengan air laut pasang kira-kira pukul 5 pagi tadi.
Antara kawasan terjejas dengan kedalaman air sekitar 0.5 meter seperti di Taman Sri Muda dan Kampung Padang Jawa, di sini; Kampung Tengah, Subang; Kampung Seri Aman, Puchong serta Meru, Klang.
Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, sehingga pukul 8 pagi tadi, seramai 151 penduduk dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Menurutnya, antara PPS yang dibuka seperti Masjid Putra Height, Subang dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Binjai, Meru.
“Keadaan air dilihat menaik secara perlahan di Kampung Padang Jawa menjejaskan 20 rumah, namun tiga mangsa dibawa keluar. Trend air statik di Kampung Tengah, Subang dan Taman Seri Jaya masing-masing menjejaskan enam dan lapan mangsa.
“Bagaimanapun trend air dilihat menurun di Kampung Seri Aman, Puchong yang menjejaskan 120 mangsa apabila 30 buah rumah dinaiki air,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Tambahnya air pasang sekitar 1.46 meter direkodkan pada pukul 5.37 pagi tadi di Stesen Ramalan Air Pasang Surut Pelabuhan Klang dan dijangka surut sepenuhnya pada 11.46 pagi sebelum kembali naik pada pukul 5.49 petang.
Jelas Ahmad Mukhlis, terdapat seorang wanita warga emas terperangkap dan berjaya diselamatkan di Taman Iswara, Taman Sri Muda.
“Berlaku banjir kilat yang melibatkan seorang warga emas berusia 75 tahun yang mengalami lumpuh atau stroke terperangkap dan memerlukan bantuan pemindahan. Pasukan penyelamat mengeluarkan mangsa dari kawasan banjir dalam operasi bersama jentera anggota,” tambahnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim memberitahu, pemantauan pihaknya mendapati banjir mulai surut di kawasan Taman Sri Muda seperti di Persiaran Budiman dan Persiaran Jubli Perak; Persiaran Perusahaan dan Aeon Big Seksyen 23; serta Jalan Mantap, Seksyen 25 dan Stesen Minyak Shell, Seksyen 19.
“Pemantauan di lokasi, air banjir mulai surut dan lalu lintas kembali lancar. Keadaan cuaca hujan renyai gerimis dan terkawal. Pemantauan di Lebuhraya Shah Alam (Kesas) mendapati lorong motosikal di Kilometer 15.3 ditutup sepenuhnya.
“Pemantauan dan perkembangan akan dilakukan dari masa ke masa ketika hujan,” ujarnya. – UTUSAN