Membanggakan keberanian luar biasa Menteri Besar Pahang tangani isu pencerobohan - Mustapa - Utusan Malaysia

Membanggakan keberanian luar biasa Menteri Besar Pahang tangani isu pencerobohan – Mustapa

MUSTAPA LONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Keberanian luar biasa Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam menangani isu pencerobohan tanah haram dan ketirisan hasil kerajaan negeri disifatkan sebagai tindakan yang membanggakan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Datuk Mustapa Long berkata, langkah tegas yang diambil bukan sahaja selari titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah malah membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam memelihara kedaulatan tanah dan hasil bumi negeri ini.

“Kita sebagai rakyat jelata amat bangga dengan keberanian luar biasa Menteri Besar Pahang yang telah bertindak tegas dan meluaskan usaha untuk mengatasi masalah (pencerobohan) ini.

“Bukan sekadar apa yang berlaku di Raub itu, tetapi juga hampir seluruh negeri Pahang usaha ini sedang dilakukan. Ini merupakan satu tindakan yang cukup baik dan merupakan satu keutamaan,” katanya dalam Perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja pada sidang DUN Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Menurut Mustapa, penubuhan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) pada 15 Oktober 2019 adalah bukti kesungguhan kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Wan Rosdy sejak beliau dilantik pada 15 Mei 2018.

“Ini merupakan satu usaha yang menjadi keutamaan sejak ADUN Jelai jadi menteri besar. Jadi kita memang menyanjungi usaha ini dan kita nampak usaha ini menyamai atau menyambut titah perintah Tuanku.

“Jadi saya percaya selepas ini kita tidak akan memandang ke belakang lagi, untuk tindakan penguatkuasaan seperti ini dijalankan secara konsisten dengan pendekatan yang telus berlandaskan undang-undang dan tidak kira siapa yang melakukan… besar, keci.. kaya, miskin… tindakan ini mesti dinoktahkan,” tegasnya.

Beliau justeru menzahirkan sokongan penuh terhadap hasrat kerajaan Sultan Pahang untuk menoktahkan segala bentuk pencerobohan serta rompakan terhadap harta kerajaan negeri yang kini disifatkan sebagai musuh nombor satu negeri.

“Jadi dalam konteks ini, sebagai ahli dewan, menjadi tanggungjawab kita… sebagai pengamal undang-undang, wakil rakyat dan setiap ahli dewan harus memikul amanah besar ini mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara, bukan sekadar tanggungjawab moral malah merupakan tunjang kepada kestabilan negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN