KANGAR: Penyandang jawatan Ketua Cabang PKR Kangar, Noor Amin Ahmad yakin mempertahankan kedudukan beliau menjelang pemilihan parti itu Sabtu ini.
Biarpun sekali lagi bakal bertembung Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan, Gan Ay Ling, Noor Amin bersama pasukannya optimis dapat menerima sokongan padu daripada akar umbi.
Noor Amin berkata, pihaknya telah melakukan persediaan sewajarnya dengan menyediakan pasukan mantap terdiri daripada pemimpin tempatan berbilang kaum yang sememangnya aktif memberikan khidmat buat masyarakat.
“Mereka yang dipilih dalam pasukan ini juga memang diketahui sentiasa hadir dalam pelbagai program, mesyuarat, pilihan raya dan setia kepada parti khususnya ketika diserang.
“Kita usaha yang terbaik dan jika berdasarkan sokongan di Kangar, saya memang yakin dapat pertahankan jawatan itu,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Dalam pemilihan lalu, Noor Amin berjaya menewaskan Ay Ling dalam pertembungan tiga penjuru selepas memperoleh 631 undi.
Ay Ling mendapat 211 undi manakala seorang lagi calon, Amar Amran memperoleh 167 undi.
Noor Amin berkata, terdapat beberapa perkara yang akan dilaksanakan sekiranya beliau terpilih sekali lagi pada pemilihan penggal ini antaranya dengan melakukan pemutihan dan menyusun semula pentadbiran parti di peringkat negeri.
Katanya, selain itu, kerjasama dengan akar umbi juga akan terus diperkukuhkan berikutan golongan ini lebih dekat dengan pengundi di setiap kawasan.
“Dalam peringkat pentadbiran parti, kita nak pemimpin yang lebih berfungsi dan mempunyai pemikiran lebih besar,” katanya.-UTUSAN