Amalan solat Tahajud sejak sekolah rendah, Fatimah raih 9A SPM - Utusan Malaysia

Amalan solat Tahajud sejak sekolah rendah, Fatimah raih 9A SPM

FATIMAH Az Zahra Mohd. Faisol,18, (dua dari kanan) bersama keluarga selepas mendapat keputusan cemerlang 9A dalam SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Lailatul Shahreen, Kangar, Perlis hari ini.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Amalan solat Tahajud setiap hari sejak sekolah rendah menjadi rahsia kejayaan Fatimah Az Zahra Mohd. Faisol,18, yang mendapat keputusan cemerlang 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 yang diumumkan hari ini.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Lailatul Shahreen itu berkata, sejak daripada sekolah rendah, dia akan bangun seawal pukul empat pagi untuk menunaikan solat Tahajud yang sememangnya menjadi amalan dan rutin.

Katanya, selepas solat Tahajud, dia akan mula mengulang kaji pelajaran sehingga Subuh sebelum bersiap-siap ke sekolah.

Ujarnya, amalan solat Tahajud itu menjadi rahsia kejayaan dan dia sangat bersyukur memperoleh semua 9A dalam SPM.

“Sejak sekolah rendah lagi, saya tidak pernah tinggal solat Tahajud ini. Ini amalan saya dan Alhamdulillah Allah SWT makbulkan doa saya dengan keputusan cemerlang ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambah anak bongsu daripada dua beradik itu, keluarga dan guru sentiasa memberi sokongan serta menjadi pendorong kejayaannya.

“Insya-Allah selepas ini saya berhasrat menyambung pelajaran di matrikulasi di dalam bidang kejuteraan,” katanya.

Seramai 89 calon yang menduduki peperiksaan SPM tahun lalu di Perlis mendapat semua A dalam semua mata pelajaran yang diambil mereka.

Ia menunjukkan peningkatan berbanding tahun 2023 di mana 50 calon memperolehi semua A.

Selain itu, pencapaian SPM di negeri ini juga terus merekodkan kecemerlangan apabila mencatatkan indeks Gred Purata Negeri (GPN) sebanyak 4.57 mata berbanding 4.74 mata pada tahun sebelumnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN