KUALA TERENGGANU: Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mencadangkan satu penambahbaikan dilakukan terhadap sistem federalisme supaya kerajaan negeri tidak terlalu bergantung kepada Persekutuan.
Menurutnya, Malaysia lebih cenderung mengamalkan centralized federalisme yang telah meletakkan kuasa kerajaan Persekutuan lebih luas dan besar dari sudut bidang kuasa dan sumber kewangan.
Katanya, sistem itu membuka ruang dan boleh dimanipulasi melalui tekanan ke atas kerajaan-kerajaan negeri yang dipimpin oleh parti yang tidak sehaluan daripada segi politik dengan kerajaan di peringkat Persekutuan.
Oleh itu, beliau berkata, sudah tiba masanya untuk Malaysia melaksanakan perubahan, contohnya daripada centralized federalisme kepada co-operative federalisme.
“Pendekatan co-operative federalism bukanlah suatu konsep baharu bahkan telah terbukti keberkesanannya di negara-negara yang mengamalkan sistem Persekutuan secara lebih matang.
“Prinsip kerjasama itu adalah seperti memaksimumkan penyelarasan satu-satu keputusan dengan matlamat dan objektif kerajaan negeri, meminimumkan birokrasi dan kos pentadbiran serta meminimumkan sebarang sekatan yang boleh menghalang usaha kerajaan negeri untuk berpartisipasi dalam apa jua bentuk kerjasama yang ada.
“Melalui pendekatan ini juga, kerajaan negeri dapat memainkan peranan yang lebih besar dalam menentukan keutamaan pembangunan negeri masing-masing, berdasarkan keperluan setempat,” katanya ketika berucap dalam sesi penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di sini semalam.
Ahmad Samsuri berkata, pendekatan itu juga dapat mengurangkan ketegangan politik antara kerajaan negeri dan Persekutuan terutama apabila pentadbiran berada di bawah parti yang berbeza.
“Objektif yang kita ingin capai adalah memperkukuh kestabilan politik dan meningkatkan keyakinan pelabur terhadap sebarang perubahan pimpinan politik dalam negara serta menambah keyakinan rakyat terhadap kecekapan pentadbiran.
“Reformasi federalisme kedua yang boleh dilaksanakan adalah dalam bentuk kajian semula pengembalian cukai kepada negeri berdasarkan prinsip kecekapan bagi mengukuhkan fiskal negeri yang memberikan satu pecahan tetap, melalui formula khusus yang dipersetujui bersama,” katanya.
Selain itu, beliau mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Khas bagi memberi input serta cadangan reformasi sistem federalisme negara yang lebih realistik dan praktikal.
Sementara itu, Menteri Besar turut memaklumkan, kebergantungan Terengganu terhadap royalti petroleum semakin berkurangan sejak 2018.
“Purata tahunan peratusan royalti (atau Dana Khas Kerajaan Persekutuan) berbanding jumlah hasil bagi tempoh 2008 hingga 2013 ialah 83.9 peratus dan bagi tempoh 2014 hingga 2017 pula ialah 81.3 peratus namun bagi tempoh 2018 hingga 2024, selari dengan peningkatan hasil, peratusan ini berkurang kepada 75.7 peratus,” katanya.-UTUSAN.