MUKADIMAH
REALITI politik di Terengganu sejak sekian lama adalah ‘pertarungan’ sebenar dalam pilihan raya melibatkan dua parti dominan iaitu Pas dan UMNO.
Oleh itu, timbul persoalan sejauh mana parti lain seperti PKR yang bekerjasama dengan UMNO atas nama Kerajaan Perpaduan mampu memainkan peranan membantu gabungannya itu bersaing. Apatah lagi ahli PKR tidak ramai di Terengganu manakala Pas yang membentuk gabungan dengan Perikatan Nasional (PN) menyapu bersih semua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Wartawan Utusan Malaysia, MOHD. SHARIZA ABDULLAH mendapatkan Pengerusi PKR Terengganu, AHMAD NAZRI MOHD. YUSOF berhubung kedudukan dan masa depan parti itu di negeri berkenaan.
UTUSAN: Jumlah keahlian PKR Terengganu adalah kedua tercorot di seluruh negara dan jauh ketinggalan dengan parti lain seperti Pas dan UMNO. Mampukah PKR Terengganu membantu Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bersaing dengan PN?
AHMAD NAZRI: Kami tidak boleh dianggap sebagai underdog walaupun jumlah keahlian paling sedikit di Terengganu. Walaupun sedikit tetapi kami mempunyai ahli yang berkualiti. PKR Terengganu yakin dapat memberi impak yang besar justeru membantu parti-parti Kerajaan Perpaduan untuk berdepan dengan Pas menerusi gerak kerja dan strategi yang disusun.
Bagaimana hendak tampil lebih kuat, lebih-lebih lagi gabungan PN Terengganu menyapu bersih semua 32 kerusi DUN?
Kami mementingkan kualiti dan gerak kerja kami ke arah melahirkan kepimpinan berkualiti yang diyakini dapat diterima oleh rakyat negeri Terengganu
Bagaimana hendak memimpin pengurusan parti di peringkat negeri tanpa status sebagai wakil rakyat atau memegang jawatan kerajaan?
Ketiadaan wakil rakyat di DUN tidak boleh dilihat sebagai satu kelemahan malah sebenarnya ia satu peluang untuk melahirkan pemimpin yang berkualiti, seperti pepatah Inggeris hard time create good leaders (masa-masa yang sukar melahirkan pemimpin berkualiti).
Ada yang mendakwa PKR ketandusan pemimpin di negeri ini.
Ini adalah kenyataan dangkal dan langsung tidak menggambarkan situasi sebenar di Terengganu, masa akan memberitahu dan menentukannya.
Apakah signifikan pemilihan PKR kali ini kepada gerak kerja dan keberadaan parti ini di Terengganu?
Pemilihan kali ini adalah satu bentuk penyuburan demokrasi di dalam parti dan satu peluang anak muda menonjol dan menunjukkan bakat kepemimpinan yang boleh disaksikan kelak oleh penduduk.-UTUSAN.