RAUB: Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui dan Pengerusi Save Musang King Alliance (Samka), Wilson Chang ditahan polis petang ini bagi membantu siasatan berhubung kejadian menghalang penjawat awam menjalankan tugas semasa pelaksanaan ‘Op Sekat’ di daerah ini minggu lalu.
Penahanan itu dimaklumkan menerusi kenyataan dimuat naik di laman rasmi Facebook Chow Yu Hui sebentar tadi, yang turut mengesahkan perkara tersebut melalui peguam yang mewakili kedua-dua individu terbabit.
“Ahli Parlimen Raub dan Pengerusi Samka, Wilson Chang disahkan oleh peguam bahawa ditahan oleh pihak polis bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan: “Menghalang penjawat awam pada menjalankan kerja-kerja jawatannya”.
“Kami akan terus memantau perkembangan kes ini dan akan mengemaskinikan maklumat terkini melalui Facebook dan media secepat mungkin,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, kedua-dua mereka hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub kira-kira pukul 4 petang dengan ditemani peguam masing-masing bagi memberi keterangan kepada pihak berkuasa.
Difahamkan, kehadiran mereka adalah berhubung siasatan kejadian semasa operasi khas penguatkuasaan terhadap aktiviti pencerobohan tanah dan penanaman durian secara haram di kawasan Sungai Klau, Raub.
Semalam, pihak polis mengesahkan seramai lima individu termasuk Chow Yu Hui akan dipanggil untuk dirakam keterangan susulan dakwaan cuba menghalang tugas penjawat awam ketika ‘Op Sekat 3.0’ dijalankan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Raub, Superintenden Mohd. Shahril Abd. Rahman memaklumkan pihaknya menerima 22 laporan polis berkaitan operasi berkenaan setakat ini.
Menurutnya, laporan itu dibuat oleh orang awam serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyatakan sokongan terhadap tindakan tegas kerajaan negeri dalam membanteras kebun durian haram yang beroperasi tanpa lesen.
Terdahulu, media melaporkan sekumpulan pekebun bertindak membawa kain rentang dan menghalang laluan jentera penguatkuasa sebagai tanda protes terhadap tindakan memusnahkan pokok durian yang telah ditanam sejak puluhan tahun. Namun begitu, keadaan berjaya dikawal tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.
Kerajaan negeri sebelum ini menafikan dakwaan melanggar perintah mahkamah ketika menjalankan operasi menebang lebih 200 pokok durian Musang King dalam satu operasi pada 8 April lalu. – UTUSAN