PASIR PUTEH: Pencemaran air Sungai Rasau yang berpunca daripada racun di kolam peliharaan ikan menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Wakaf Bunut milik syarikat Air Kelantan Sdn. Bhd (AKSB) di sini tercemar sekali gus menjejaskan 8,500 akaun pengguna.
Jurucakap AKSB berkata, pencemaran yang berlaku di muka sauk mulai dikesan pada Jumaat lalu.
“Sungai Rasau merupakan sumber bekalan air mentah kepada muka sauk bagi LRA Wakaf Bunut. Walaupun pencemaran itu berlaku di kawasan hulu namun atas faktor keselamatan , pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) memaklumkan bahawa loji tidak boleh beroperasi buat sementara waktu.
“Hasil tinjauan oleh SPAN Kelantan bersama AKSB mendapati ikan-ikan di dalam sungai berkenaan telah mati,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Jurucakap AKSB memberitahu, LRA itu hanya boleh beroperasi selepas mendapat pengesahan sumber air mentah tersebut selemat oleh Jabatan Sumber Air Negeri Kelantan (JSANK) atau Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Katanya, AKSB bersama dua agensi terlibat telah mengadakan lawatan ke
lokasi untuk mengenalpasti punca sebenar.
“Sepanjang tempoh itu, AKSB akan memperluaskan agihan bekalan air daripada LRA Merbau Chondong ke kawasan Wakaf Bunut melalui Pam Penggalak Padang Pak Amat.
“Sebanyak empat buah lori tangki AKSB yang dibantu oleh dua buah Lori Air Kontrak telah digerakkan untuk membantu premis terjejas, seperti hospital dan sekolah,” ujarnya.
Tambah kenyataan itu lagi, AKSB akan mendapatkan bantuan dari lori tangki milik Syarikat Air Terengganu (SATU) untuk membantu penduduk sekitar mendapatkan bekalan air bersih.-UTUSAN