LANGKAWI: Pasukan elit Polis Diraja Malaysia (PDRM), 69 Komando melaksanakan latihan di perairan bagi mengukuhkan kesiapsiagaan serta meningkatkan keupayaan operasi taktikal dalam menghadapi ancaman keselamatan.
Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) Maritim Skuadron Alpha 69 Komando Siri 1/2025 bermula pada 14 April hingga 21 April lalu itu melibatkan penyertaan seramai 55 pegawai dan anggota.
Diketuai Penolong Skuadron Komander Alpha 69 Komando, Inspektor Muhammad Hazwan Harun dan Terup Komander 3 Skuadron Alpha, Inspektor Mohd. Zulfadli Mazlan, mereka bertanggungjawab menyusun segala strategi serta pelan tindakan simulasi dalam latihan kali ini.
Latihan yang dijalankan merangkumi pelbagai aspek operasi maritim seperti penyusupan masuk melalui pantai dari laut termasuk penyusupan senyap laluan air menggunakan High Performance Diving Scooter_ SBS 730 Rotinor serta meneutralkan ancaman pengganas dalam situasi menyelamat tebusan.
Bot RHIB Kerambit dan Kapal PLC 5 milik Pasukan Gerakan Marin turut digunakan selain menerima bantuan Unit Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) bagi menguji keberkesanan peranan teknologi itu dalam melaksanakan operasi di perairan.
Pegawai Turus Kepolisan Am 69 Komando, Superintenden Mohd. Yusof Ariffin berkata, latihan itu merupakan sebahagian inisiatif berterusan untuk menilai kematangan pegawai dan anggota serta memastikan mereka sentiasa berada dalam tahap kesiapsiagaan tertinggi.
“Sebagai Pasukan Khas PDRM, keupayaan kami untuk bertindak pantas dan berkesan dalam pelbagai medan termasuk laut adalah amat penting. Latihan simulasi ini adalah untuk menguji kemampuan taktikal pegawai dan anggota secara menyeluruh,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Katanya, LDP itu dilaksanakan bagi menguji ketahanan fizikal dan mental pegawai dan anggota, di samping memperkukuhkan kerjasama pasukan dalam misi berisiko tinggi.
“Ia bagi mengukuhkan komitmen PDRM dalam mempertahankan kedaulatan negara serta menjamin keselamatan rakyat daripada sebarang bentuk pencerobohan atau ancaman pengganas, khususnya melalui laluan perairan negara,” ujarnya.-UTUSAN.