KUANTAN: Seramai 595 calon Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 di negeri ini berjaya memperoleh keputusan cemerlang gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran berbanding 517 calon pada 2023.
Daripada jumlah itu, empat calon memperoleh semua A+ dalam mata pelajaran diambil dari Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Kuantan, Sekolah Menengah Agama Al-Maarif Kuantan, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abu Bakar Kuantan dan SMK Jengka Pusat Maran.
Timbalan Pengarah Pendidikan (Sektor Pembelajaran) Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Ahmad Zamri Md. Isa berkata, bagi calon di bawah Kementerian Pendidikan, seramai 17,285 calon telah mendaftar menduduki peperiksaan SPM 2024 berbanding 17, 250 pada 2023.
“Merujuk kepada gred purata negeri (GPN) pada keseluruhannya pencapaian calon peperiksaan SPM tahun 2024 bagi negeri Pahang meningkat berbanding 2023.
“Peningkatan sebanyak 0.13 mata menjadikan nilai GPN sebanyak 4.23 mata pada 2024 berbanding 4.36 mata pada 2023,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. – UTUSAN