200 pokok durian ditebang di Sungai Klau - Utusan Malaysia

200 pokok durian ditebang di Sungai Klau

ANTARA pokok durian yang ditebang di kawasan kebun durian tanpa geran di Sungai Klau di Raub, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAUB: Kira-kira 200 batang pokok durian yang berusia 30 hingga 40 tahun yang sudah pun mengeluarkan hasil ditebang dalam operasi penguatkuasaan di kebun durian tanpa geran di Sungai Klau di sini semalam.

Difahamkan, operasi bermula pukul 11 pagi itu melibatkan pasukan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang dan Pejabat Tanah dan Daerah Raub dengan diiringi pihak polis.

Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui berkata, tindakan tersebut menyedihkan kerana ia memberi kerugian besar kepada para pekebun terlibat.

“Apabila saya naik ke kebun bersama petani meninjau pokok dimusnahkan, saya sendiri menyaksikan kebun durian yang lengkap dan berpotensi musnah sepenuhnya akibat penebangan oleh pihak penguatkuasa.

“Pokok-pokok durian musang king yang tua kelihatan jelas ditebang dengan gergaji elektrik malah tanaman lain di sekeliling seperti pokok pisang juga tidak terkecuali, dan ini tindakan yang sangat tidak dapat diterima serta benar-benar membuat petani menitiskan air mata,” katanya di sini.

Yu Hui dalam pada itu menyeru agar semua tindakan penebangan dihentikan serta-merta dan pihak berkuasa perlu menghormati perintah mahkamah selain kerajaan harus menguruskan pertikaian tanah dengan pendekatan yang lebih berperikemanusiaan melalui dialog.

“Tindakan semalam jelas melanggar perintah mahkamah dan boleh dianggap penghinaan proses mahkamah. Pekebun akan mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan negeri bagi menuntut pampasan atas kerugian dialami dan mempertahankan kedaulatan undang-undang.

“Saya bersama barisan kepimpinan Save Musang King Alliance (Samka) akan terus melancarkan usaha mempertahankan hak pekebun dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana tindakan yang memusnahkan mata pencarian rakyat serta mencabul kedaulatan undang-undang,” ujarnya.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintenden Mohd. Shahril Abd. Rahman dalam kenyataan berkata, pihak polis melakukan Op Sekat 3.0 di Hutan Simpan Kekal dan tanah kerajaan negeri bermula 8 April hingga 3 Mei depan.

Katanya, seramai 10 pegawai dan 137 anggota polis dan penguatkuasa akan melakukan penugasan kawalan keselamatan dan pemantauan di kawasan terbabit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN