SHAH ALAM: Pelakon popular, Zara Zya kini bergelar peniaga kambing perap bakar yang dijualnya dekat Bazar Ramadan Jalan Kebun di sini.
Menurutnya, drama lakonannya ketika ini yang bertajuk Dia Imamku juga secara tidak langsung menjadi promosi percuma untuk menarik peminat-peminatnya supaya berkunjung ke gerainya untuk mendapatkan juadah berbuka puasa.
“Dalam drama Dia Imamku, watak saya sebagai Lily yang menjual nasi lemak untuk menanggung keluarga, tetapi di sini saya menjual kambing perap bakar.
“Pelanggan-pelanggan tempatan dan peminat dari luar Shah Alam mengusik saya dengan mengatakan mengapa tidak jual nasi lemak hari ini. Sebaliknya kata mereka saya bertukar watak menjual daging kambing perap sejuk beku jenama Perap 99 pula,” katanya ketika ditemui dekat gerainya di Bazar Ramadan Jalan Kebun.
Menurutnya, dia berniaga di bazar Ramadan dengan niat berjumpa secara langsung dengan peminat-peminatnya di samping mempromosi kambing perap yang dihasilkannya di sebuah kilang di Melaka.
Menurut Zara yang kini tinggal bersama keluarga di Kota Kemuning, setakat ini kambing perap bakarnya itu mendapat sambutan hangat pelanggan setelah beberapa hari berniaga di bazar Ramadan tersebut.
Zara atau nama sebenarnya Zainurul Razia Mohd.Zainuddin,40, dalam pada itu memberitahu keadaan kesihatannya semakin baik selepas diuji hingga perlu menjalani pembedahan membuang cyst dan fibroid pada Mei tahun lalu.-UTUSAN.