KUANTAN: Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) menggerakkan 1,000 biro pemantauan di seluruh negara bagi memantau harga barangan dan perkhidmatan sempena bulan Ramadan serta Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba.
Presiden YPNM, Datuk Dr. Mohd. Firdaus Abdullah berkata, pemantauan akan dilakukan di semua premis perniagaan seperti pasaraya, pasar borong, pasar malam dan bazar Ramadan.
“Sebarang pelanggaran harga kawalan musim perayaan dan sebarang kenaikan harga barangan yang tidak munasabah akan dilaporkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk tindakan selanjutnya.
“YPNM juga mengesa semua peniaga beretika dalam perniagaan dengan tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barangan keperluan asas seharian sempena musim perayaan.
“Peniaga juga perlu memastikan tanda harga yang jelas, timbang yang jujur. Pengguna juga perlu meneliti dan memahami sebarang harga barangan yang dikawal sempena musim perayaan Hari Raya Aidilfitri kali ini,” katanya di sini hari ini.
Mohd. Firdaus berkata, YPNM juga mengesa pihak kerajaan memastikan barangan basah dan kering sentiasa mencukupi di pasaran dengan harga yang berpatutan. – UTUSAN