SHAH ALAM: Kerajaan disaran menaik taraf salah satu Institut Pendidikan Guru (IPG) sedia ada menjadi IPG Tahfiz, bagi melahirkan tenaga pengajar tahfiz yang lebih berkelayakan.
Pengerusi Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Selangor (PITAS), Mohamad Hafiz Haneefa berkata, penubuhan institut perguruan khas bagi guru tahfiz adalah penting memandangkan kini terdapat institusi tahfiz di bawah seliaan kerajaan.
Menurutnya, institusi tersebut di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Sekolah-Sekolah Berasrama Kebangsaan (SSBK).
“Ketika ini, tiada modul khas yang benar-benar memberi tumpuan kepada latihan guru tahfiz.
“Walaupun terdapat kursus anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di Institut Aminuddin Baki (IAB), ia lebih menumpukan kepada aspek pengurusan sekolah dan bukan modul khusus untuk pendidikan tahfiz,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penutup Ijtima’ Huffaz Selangor Kali Ke-18 dan Sambutan Jubli Perak 25 Tahun PITAS, hari ini.
Tambah Mohamad Hafiz, bagi merealisasikan usaha penubuhan IPG tersebut, PITAS sedang dalam proses permohonan Kebenaran Merancang (KM) untuk membangunkan IPG Tahfiz di kawasan Sungai Tua, Gombak.
“Projek itu memerlukan dana sekitar RM5 juta, dengan sasaran beroperasi pada tahun 2027.
“Walaupun penubuhan IPG baharu melibatkan kos yang besar, sekurang-kurangnya kerajaan boleh mempertimbangkan untuk menaik taraf salah satu IPG sedia ada bagi tujuan tersebut,” ujarnya. – UTUSAN