KUALA LUMPUR: Rakyat diingatkan supaya berwaspada dengan taktik promosi ceti haram atau along agar tidak terjerat dalam perangkap kewangan hanya kerana mahu bermewah semasa Hari Raya Aidilfitri.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati syarikat-syarikat pinjaman wang berlesen dan tidak berlesen sudah mula membuat tawaran termasuk menggunakan iklan ‘promosi raya’ untuk memancing orang ramai membuat pinjaman.
Kesempatan itu diambil oleh syarikat terbabit ketika orang ramai begitu ghairah untuk meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri dengan serba mewah.
Antara modus operandi yang digunakan oleh syarikat-syarikat berkenaan adalah melalui penghantaran sistem pesanan ringkas (SMS) secara rambang dan media sosial dengan ‘ayat-ayat manis’.
Presiden Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM), Farra Rosland berkata, pihaknya sudah menerima aduan dari orang ramai yang bimbang tidak dapat menyambut Aidilfitri kerana kekangan kewangan.
Menurutnya, terdapat individu yang terdesak dan sanggup mengambil pinjaman wang sama ada dari syarikat sah atau along.
Oleh itu, beliau menggesa orang ramai untuk melakukan persiapan raya mengikut kemampuan sendiri tanpa terpengaruh dengan trend ‘beraya mewah’ hingga menyebabkan mereka memilih untuk melakukan pinjaman wang.
“Sangat tidak wajar sekiranya meminjam wang hanya untuk menyambut hari raya, hari tersebut adalah hari kemenangan kita. Sepatutnya dari awal lagi rakyat sudah membuat tabung dan bajet.
“Apabila kita meminjam wang ini, kita akan dikenakan riba yang saya dapati ada mencecah 12 peratus. Jadi sangat tidak masuk akal dan munasabah untuk kita berbuat demikian,” katanya ketika dihubungi.
Farra berkata, rakyat Malaysia perlu bijak dan tidak terpedaya dengan ‘promosi raya’ yang dilakukan oleh along.
“Jika mereka terjerat, ia akan membebankan masa depan mereka hanya kerana mahu menyambut hari raya sahaja. Kita kena fikir untuk jangka masa panjang sebelum mengambil tindakan tersebut,” katanya.
Sementara itu, Wakil Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL), Samsudin Mohamad Fauzi berkata, terdapat along yang sudah mula mengambil kesempatan terhadap rakyat yang sedang menghadapi tekanan kewangan.
Katanya, terdapat syarikat pinjaman yang menawarkan pinjaman wang dengan pajakan harta benda seperti kereta dan motosikal sekali gus melanggari Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Akta 400).-UTUSAN.