KUALA KRAI: Seorang wanita warga emas maut selepas kereta jenis Perodua MyVi dipandu cucunya terbabas sebelum jatuh ke dalam gaung di Kilometer 81 Jalan Kota Bharu -Gua Musang dekat Bukit Ah Kim di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.40 tengah hari itu, mangsa, Rahimah Daud, 72, maut di lokasi selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Mazlan Mamat berkata, siasatan awal mendapati semasa kejadian warga emas itu bersama anak perempuan berusia 52 tahun serta cucu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur untuk pulang ke kampung mereka di Pasir Mas.
“Kereta tersebut dipercayai terbabas dan jatuh ke dalam gaung semasa tiba di lokasi kejadian.
“Kemalangan itu menyebabkan warga emas itu meninggal dunia di lokasi kejadian manakala anak perempuannya yang duduk ditempat duduk penumpang depan dan cucu mengalami kecederaan,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Mazlan memberitahu, mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Ismail Petra di sini untuk proses bedah siasat.
Katanya, pemandu kereta berusia 21 tahun dan ibunya turut dibawa ke hospital sama untuk rawatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.