TELUK INTAN: Seorang wanita di Kampung Tanjung Sari, Teluk Bharu di sini, Atimah Narijan bersyukur kerana dikurniakan kesihatan yang baik dan masih mampu berpuasa seperti orang lain walaupun sudah berusia 102 tahun.
Atimah berkata, dia bersyukur kerana dipanjangkan usia dan diberikan kesihatan yang baik sehingga masih dapat berpuasa tanpa sebarang masalah.
“Alhamdulillah saya masih diberikan peluang oleh Allah untuk berpuasa pada tahun ini. Walaupun sudah mencecah usia 102 tahun, Allah berikan saya kesihatan yang baik dan masih boleh berpuasa seperti orang lain,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Menurutnya lagi, dia tidak mengamalkan petua tertentu sebaliknya sekadar melakukan rutin harian biasa namun mementingkan tidur seawal pukul 10 malam dan bangun pada pukul 5 pagi untuk solat Subuh.
“Setiap malam Ramadan, saya mengaji al-Quran sebelum solat Subuh dan disambung selepas solat. Daripada segi pemakanan, tiada amalan rahsia atau amalan-amalan tertentu cuma semasa bersahur saya makan sedikit sahaja dan minum air biasa.
“Saya berharap agar Ramdan akan datang dapat berpuasa lagi dan dapat melihat anak, cucu, cicit dan piut,” katanya lagi.
Berdasarkan kad pengenalannya, Atimah atau mesra dengan panggilan Timan dilahirkan pada tahun 1923 dan genap berusia 102 tahun pada 21 Julai depan. Dia yang mempunyai enam anak, sudah mempunyai 28 orang cucu, 51 orang cicit dan tujuh piut.
Walaupun sudah berusia lanjut, Atimah hanya mengalami sedikit gangguan pada pendengaran namun penglihatan masih tajam dan jelas dan daya ingatannya juga baik.-UTUSAN.