KANGAR: Majlis Perbandaran Kangar (MPK) perlu mengutamakan pandangan rakyat dalam sebarang perancangan pembangunan bandar selaras dengan Rancangan Tempatan 2035.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, pihak berkuasa tempatan (PBT) itu juga seharusnya menyokong inisiatif rendah karbon dan tenaga boleh diperbaharui dalam membangunkan sebuah bandar mampan.
“Sebagai Smart City Early Adopter, MPK mesti berusaha menjadikan Perlis sebagai sebuah bandar pintar terkehadapan di Malaysia,” titah baginda sempena Majlis Iftar Mahabbah di Dewan MPK Arau, di sini, hari ini.
Berangkat sama pada majlis anjuran Puspanita MPK dan Yayasan Kebajikan Perlis (YKPs) itu adalah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Baginda berdua turut berkenan menyaksikan pemberian sumbangan kepada anak-anak asnaf bersempena bulan Ramadan.
Dalam perkembangan sama, Tuanku Syed Faizuddin bertitah, MPK juga perlu mengukuhkan integriti melalui pemantauan,
penguatkuasaan dan penglibatan bersama masyarakat.
“Kakitangan berwibawa dan pendekatan holistik penting dalam menjadikan MPK sebuah entiti PBT yang peka dan adaptif terhadap perubahan undang-undang. Ini termasuk memastikan pematuhan dan budaya kerja yang proaktif serta melakukan penambahbaikan secara berterusan,” titah baginda.
Tuanku Syed Faizuddin turut bertitah agar PBT itu dapat memperkasakan hubungan dan kolaborasi strategik dengan pelbagai pihak.
Titah baginda, komunikasi dua hala penting dengan melibatkan pemegang taruh melalui sesi libat urus dan dialog awam bagi memastikan program MPK memberi impak positif.
“Oleh itu, MPK perlu merangka pelan pembangunan komuniti dengan kerjasama jabatan dan agensi bagi kejayaan bersama,” titah baginda.-UTUSAN.