UnIPSAS terima wakalah zakat, wakaf, sumbangan RM4.1 juta, naik empat kali ganda - Utusan Malaysia

UnIPSAS terima wakalah zakat, wakaf, sumbangan RM4.1 juta, naik empat kali ganda

SHAFIEQ Johari (kanan) mewakili Gading Group Berhad menyampaikan sumbangan wakaf bangunan berjumlah RM2.3 juta untuk pembinaan bangunan pusat orang kurang upaya (OKU) penglihatan di Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) menerima wakalah zakat, wakaf dan sumbangan berjumlah RM4.1 juta, meningkat empat kali ganda berbanding RM1 juta pada tahun lalu.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Zulkifli Yaacob berkata, sebagai institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri bertaraf universiti penuh, UnIPSAS semakin mendapat perhatian daripada pelbagai pihak termasuk agensi-agensi kerajaan dan badan korporat.

“Institusi pengajian tinggi merupakan pusat melahirkan para ilmuan yang akan menjadi tonggak kemajuan negeri dan negara pada masa depan. Mahasiswa dan mahasiswi yang menuntut di institusi-institusi pengajian tinggi seperti di UnIPSAS ini terdiri daripada mereka yang mempunyai pelbagai latar belakang termasuk B40.

“Bantuan seperti dermasiswa dan zakat memainkan peranan yang begitu besar sebagai sistem sokongan dalam mendokong perjalanan seseorang penuntut ilmu menamatkan pengajian mereka dengan jayanya.

“Zakat yang disalurkan kepada penuntut yang layak terutama daripada kalangan B40 bukan sekadar membantu mereka melanjutkan pelajaran, tetapi juga membuka ruang kepada lahirnya generasi cendekiawan dan pemimpin negara. Manakala wakaf dalam bentuk bangunan, perpustakaan, kemudahan atau peralatan pembelajaran akan terus memberikan manfaat yang berpanjangan kepada masyarakat,” katanya ketika berucap pada Majlis Khatam al-Quran, Penyerahan Wakalah Zakat dan Wakaf serta Iftar Perdana sempena Sambutan Nuzul al-Quran Peringkat UnIPSAS di Masjid UnIPSAS di sini semalam.

Zulkifli yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Sistem Pendidikan Islam Pahang Sdn. Bhd. (SPIPSB) berterima kasih kepada semua pihak yang memberikan sumbangan zakat dan wakaf kepada UnIPSAS.

“Pertamanya, Gading Group Berhad yang menyumbang RM2.3 juta untuk pembinaan bangunan pusat orang kurang upaya (OKU) penglihatan, begitu juga kepada Zoon Idris dengan sumbangan wakaf bangunan bernilai RM702,000. Terima kasih juga kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang menyumbang RM350,000 iaitu RM300,000 untuk pembinaan laluan beratap ke Masjid UnIPSAS yang kini sedang dalam pembinaan dan RM50,000 lagi kepada 50 orang mahasiswa, mahasiswi yang memerlukan.

“Terima kasih juga diucapkan kepada Amanah Saham Pahang Berhad (ASPA) yang menaja elaun pensyarah bahasa Arab berjumlah RM72,000, Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat) yang menyumbang RM58,288 kepada Masjid UnIPSAS iaitu RM28,300 untuk bantuan asnaf dan pengimaraham aktiviti masjid, sementara RM29,988 lagi untuk Sumbangan Jariah al-Barakah Projek Gazebo di sekitar kawasan masjid.

“Setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada FOMEMA Sdn. Bhd. melalui Yayasan Tengku Abdullah atas penyerahan bantuan wakalah zakat komputer riba berjumlah RM50,600, Gading Senggara Sdn. Bhd. atas sumbangan dana perbelanjaan mengurus Yayasan Amanah Tuanku Canselor (YATC) berjumlah RM50,825.81, Affin Bank Berhad dengan wakalah zakat berjumlah RM40,000, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dengan wakalah zakat berjumlah RM23,500 dan Bank Islam Malaysia Berhad dengan wakalah zakat berjumlah RM20,000,” katanya.

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada Telekom Malaysia Berhad dan Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) yang masing-masing menyumbang RM15,000, mySalam sumbangan berbentuk tajaan aktiviti pelajar bernilai RM10,500, Bank Muamalat Malaysia Berhad bantuan asnaf dan pengimaraham aktiviti masjid RM10,000.

“Terima kasih juga kepada Datuk Ahmad Tajuddin Sulaiman atas wakalah zakat bernilai RM10,000, Datuk Ir. Abdul Rashid Musa (UMW Holdings Bhd) dan Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (Kosma) atas wakalah zakat RM10,000.

“Tidak dilupakan juga pelbagai bentuk sumbangan yang diberikan oleh pelbagai institusi antaranya Pahang Mining Corporation, Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang (PKPP), Rangkaian Delima Sdn. Bhd., Bank Simpanan Nasional, Yayasan Pahang, Majlis Sukan Pahang, Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Pahang Medical Centre serta ramai lagi individu yang saya tak dapat sebutkan nama mereka satu persatu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN