ARAU: Universiti Malaysia Perlis (Unimap) sasar merapatkan jurang antara pihak universiti dan pemain industri di negara ini.
Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr Zaliman Sauli berkata, bagi tujuan itu, antara usaha dilakukan oleh institusi pengajian tinggi awam (IPTA) itu adalah dengan memperkasakan bakat dalam bidang semikonduktor melibatkan advanced packaging.
Beliau berkata, Unimap turut mensasarkan seramai 50 graduan IPTA itu akan mengikuti pengajian Sarjana Sains (Mod Campuran) dalam Bidang Advanced Packaging selepas ini.
“Pelajar-pelajar ini akan mendapat Sarjana dan Latihan Berstruktur Industri manakala pihak industri pula akan mendapat bakat dalam bidang semikonduktor,” katanya selepas Lawatan Kerja Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ke universiti itu, hari ini.
Dalam kunjungan itu, Ahmad Zahid turut dibawa meninjau pameran reruai industri selain menyaksikan pertukaran dokumen memorandum penjanjian (MoA) melibatkan Unimap dan 20 industri.
Beliau juga berkesempatan menyaksikan penyerahan Geran Padanan Industri melibatkan lapan syarikat, selain penyerahan cek cura bagi Altera FPGA Kurikulum dan juga kerjasama melibatkan Cement Industri of Malaysia Berhad (CIMA) dan Unimap.
Dalam perkembangan sama, Zaliman berkata, Unimap turut memberi fokus terhadap industri masa hadapan dalam menyediakan tenaga kerja mencukupi buat pasaran.
“Ini adalah meliputi industri Semiconductor Advanced Packaging Process, Wafer Fabrication & Advanced Packaging- Optical Metrology, Electric Vehicle dan Kecerdasan Buatan (AI).
“Malah menerusi 98.8 peratus kebolehpasaran graduan kita, 75 peratus daripadanya berpeluang untuk bekerja dalam bidang pengajian mereka sebelum ini,” katanya.-UTUSAN