TEMERLOH: UMNO tidak akan terjebak dalam permainan politik yang boleh menggugat kestabilan parti, apatah lagi menjadi alat kepada mana-mana pihak atas nama perpaduan Melayu.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, sebaliknya, segala keputusan penting berhubung hala tuju politik parti itu perlu diputuskan secara kolektif oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) bagi memastikan UMNO terus relevan dalam memacu masa depan negara.
Beliau menegaskan, UMNO sehingga kini masih komited dengan kerjasama bersama Pakatan Harapan (PH) dan tidak pernah membincangkan sebarang bentuk rundingan dengan Perikatan Nasional (PN) termasuk Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
“Apa sahaja keputusan mesti dirujuk kepada MKT. Setakat ini, tiada sebarang perbincangan tentang kerjasama dengan Pas dan Bersatu.
“Fokus kita adalah meneruskan gabungan yang ada bersama PH,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Iftar Ukhuwah Madani Parlimen Temerloh anjuran Sekretariat NGO Madani di sini semalam.
Isnin lalu, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dilaporkan berkata, tiga parti Melayu berpotensi membentuk kerajaan baharu pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) jika wujud keterbukaan dalam kalangan pemimpin UMNO untuk bergabung dengan Bersatu dan Pas.
Mengulas lanjut, Mohd. Sharkar berkata, UMNO menghargai pelawaan itu tetapi keputusan tetap di tangan pucuk pimpinan parti.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Hamzah atas pelawaan itu. Namun, keputusan sebegini perlu diputuskan oleh MKT dan BN (Barisan Nasional) secara keseluruhan. Apa pun, kita harus melihat apakah ia menguntungkan UMNO atau sebaliknya,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa UMNO perlu berpandangan jauh dan tidak terperangkap dengan retorik politik yang boleh mengorbankan kepentingan jangka panjang parti.
“Realiti politik hari ini menuntut UMNO untuk melihat kepentingan jangka panjang, bukan sekadar retorik semata-mata,” tegasnya. – UTUSAN