UIS kukuhkan pendidikan islam melalui Wakaf Universiti - Utusan Malaysia

UIS kukuhkan pendidikan islam melalui Wakaf Universiti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI – Universiti Islam Selangor (UIS) secara rasmi telah melancarkan inisiatif Wakaf Universiti, menandakan langkah awal dalam membangunkan sistem pendidikan yang mampan, progresif, dan berorientasikan kebajikan ummah.

Usaha ini bermula sejak 2018 dan diperkuatkan dengan Pelan Strategik Wakaf Universiti 2020-2025.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menitahkan agar  UIS menjadi Universiti Wakaf pertama di Selangor, mengukuhkan lagi pelaksanaan inisiatif ini.

Majlis ini dirasmikan oleh Naib Canselor Universiti Islam Selangor (UIS), YBhg. Dato’ Prof. Dr. Mohd Farid Ravi bin Abdullah, di Auditorium Adanan Isman pada 28 Februari lalu.

Konsep Wakaf Universiti UIS bertumpu kepada empat elemen utama, tidak berorientasikan keuntungan, pembiayaan mampan melalui wakaf tunai, tadbir urus berlandaskan syariah, serta misi pendidikan dan kemasyarakatan.

Yayasan KUIS dilantik sebagai badan pengurusan dana wakaf, memastikan sumbangan diurus dengan profesional dan mematuhi prinsip syariah.

Pelaksanaan Wakaf Universiti ini dijangka memberi manfaat besar kepada pembangunan ummah, melahirkan pemimpin berintegriti, dan memastikan akses pendidikan yang lebih lestari.

UIS berharap inisiatif ini mendapat sokongan berterusan dari pelbagai pihak agar dapat mencapai matlamat jangka panjang dalam memperkasakan pendidikan Islam di Malaysia.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif PWS, Tuan Haji Anuar Hamzah bin Tohar, turut  menegaskan kepentingan inisiatif ini dalam memperkasakan institusi pendidikan Islam.

Jelasnya, beliau menekankan bahawa wakaf bukan sekadar sumber pembiayaan alternatif tetapi juga sebagai saham akhirat yang memberi manfaat kepada generasi akan datang

PWS memberi jaminan untuk terus komited dalam menjayakan agenda Wakaf Universiti dan menyeru masyarakat untuk bersama-sama menyokong inisiatif ini demi kelangsungan pendidikan Islam yang berkualiti.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN