GEORGE TOWN: Ketua Menteri, Chow Kon Yeow menegaskan, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang tidak semestinya berasal dari negeri itu kerana pemilihan dibuat berdasarkan status, pengalaman serta kelayakan.
Menurut Kon Yeow, dalam sejarah pelantikan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, terdapat individu yang bukan anak kelahiran negeri tetapi tetap dilantik ke jawatan tersebut.
“Perlembagaan Negeri tidak menetapkan syarat bahawa Yang Dipertua Negeri mesti berasal dari Pulau Pinang. Malah, ada calon yang bukan anak negeri ini pernah berkhidmat sebagai Yang Dipertua Negeri sebelum ini. Jadi, itu (anak jati) bukan prasyarat pelantikan,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Sebelum ini, timbul desas-desus mengenai nama-nama calon yang bakal menggantikan Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak sebagai Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang yang baharu, antaranya bekas Menteri Besar Perak, Tan Sri Ramli Ngah Talib.
Untuk rekod, terdapat beberapa bekas Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang yang bukan berasal dari negeri ini sebelum ini.
Antaranya, Tun Sardon Jubir (1975 hingga 1981) dari Rengit, Batu Pahat, Johor; Tun Dr. Awang Hassan (1981-1989) dari Muar, Johor serta Tun Hamdan Sheikh Tahir (1989-2001) dari Kuala Kangsar, Perak.
Ahmad Fuzi yang memegang jawatan itu sejak 2021, berasal dari Sungai Bakap, Pulau Pinang.
Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, calon Yang Dipertua Negeri baharu telah diserahkan kepada Pejabat Perdana Menteri (PMO) sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk pertimbangan.
Kon Yeow yang tidak menyatakan jumlah nama dihantar, berharap agar semua pihak bersabar menunggu pengumuman rasmi mengenai perkara itu selepas ini. – UTUSAN