KOTA BHARU: Seorang ibu tunggal sebak selepas tindakannya menulis surat kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar untuk melunaskan bayaran tunggakan bil elektrik mendapat perhatian daripada pemimpin berkenaan.
Sarimah Mamat, 63, yang merupakan aktivis belia berkata, sumbangan itu amat membantu sekali gus menggelakan bekalan elektrik di rumah dari dipotong.
Menurutnya, dia mengambil keputusan untuk mengutus surat kepada menteri selepas buntu memikirkan jalan untuk mengatasi masalah tersebut.
“Saya, ibu tunggal yang kematian suami 10 tahun lalu. Sepanjang tempoh itu saya tidak menerima sebarang bantuan. Saya mempunyai empat anak masing-masing berusia 28 hingga 40 tahun.
“Mereka ada membantu, namun saya faham masing-masing sudah mempunyai keluarga yang perlu ditanggung. Lagipun semua ada saya bekerja sendiri, jadi pendapatan mereka tidak menentu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama Dr. Hafidzah Mustakim yang turun padang menyerahkan sumbangan dari Mohd. Na’im di Kampung Semut Api di sini hari ini.
Sarimah memberitahu, dia menulis surat itu tanpa memaklumkan tindakan tersebut kepada kesemua anak-anaknya.
Katanya, dia mengambil masa hampir tiga hari untuk menyiapkan surat tersebut sambil dibantu oleh rakan yang mencari alamat pejabat menteri.
“Saya menzahirkan ucapan terima kasih atas sumbangan ini. Sumbangan ini amat membantu meringankan beban sekali gus memboleh saya menjelaskan tunggakan tersebut,” ujarnya.
Sementara itu Dr. Hafidzah berkata, beliau menerima maklumat daripada menteri berhubung nasib yang menimpa Sarimah itu dua hari lalu.
Katanya, susulan itu Mohd. Na’im mengirimkan sejumlah wang tunai untuk diserahkan kepada wanita berkenaan.-UTUSAN