SHAH ALAM: Kira-kira tujuh daripada 10 wanita di negeri ini atau 69,7 peratus berada dalam dunia pekerjaan terutama dalam sektor sumber manusia, pembuatan dan perkhidmatan melepasi saranan 30 peratus dalam perkara kelima, Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Bagaimanapun, penyertaan wanita dalam sektor-sektor kritikal seperti kejuruteraan dan kepimpinan masih berada di tahap yang rendah.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, jumlah tersebut selain dipengaruhi keperluan kepakaran dan bakat, ia turut disumbang oleh faktor tekanan ekonomi yang memerlukan kedua-dua pasangan suami atau isteri bekerja.
Menurutnya, aa selaras dengan dasar Pelan Tindakan wanita 2024 – 2026 yang dirangka kerajaan negeri antaranya bertujuan melibatkan lebih ramai wanita dalam pekerjaan sekali gus memperkukuhkan satu ekosistem inklusif kepada setiap warga di Selangor.
“Penyertaan wanita dalam sektor pekerjaan sampai 69.7 peratus dan merupakan satu petanda ia bukan lagi menjadi satu dogma atau sebagai perkara tabu tentang penglibatan wanita dalam sektor pekerjaan.
“Cumanya, sekarang kita perlu pertingkatkan bagaimana sektor tertentu, layanan wanita di tempat kerja dan sebagainya termasuk bagaimana keluarga dan masyarakat itu dapat bergerak bersama-sama,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Jelajah Wanita MyWira 2025 Selangor, hari ini.
Terdahulu, beliau bersama Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong menyaksikan pemeteraian perjanjian persefahaman (MoU) antara TalentCorp dan Wanita Berdaya Selangor (WBS).
Jelasnya, melalui kerjasama tersebut, kerajaan negeri bersama Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) akan melaksanakan Jelajah Wanita MyWira 2025 di kesemua 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) pada April hingga November ini.
“Tujuannya adalah untuk memberikan kemahiran, peluang pekerjaan dan sokongan pengintegrasian wanita dalam tenaga kerja selain fokus kepada bengkel latihan kemahiran, insentif tenaga kerja dan kebolehpasaran pekerjaan dan menyediakan peluang penempatan pekerjaan,” ujarnya.
Sementara itu, Steven Sim memberitahu dalam program tersebut, pihaknya akan mendekati wanita berusia 20 hingga 44 tahun untuk mencapai sasaran 1.4 juta individu golongan itu menyertai sektor pekerjaan.
“Ia termasuk program-program jelajah yang kita lakukan, latihan, bengkel dan sebagainya. Jadi itu adalah kesinambungan yang mana pada tahun ini kita akan keluar, memperluaskan lagi capaian kita.
“Supaya mereka tahu, bukan sahaja ada insentif lama tetapi juga ada baharu yang mana syarikat-syarikat mulai tahun ini, mereka yang mengambil wanita kembali ke alam pekerjaan mereka juga akan menerima potongan cukai,” jelasnya. – UTUSAN