Topi keledar berkualiti kurangkan risiko kecederaan sehingga 70 peratus - Utusan Malaysia

Topi keledar berkualiti kurangkan risiko kecederaan sehingga 70 peratus

LOKE Siew Fook (kiri) menyampaikan topi keledar piawaian SIRIM kepada penerima pada program pertukaran topi keledar bersama penduduk di Jerantut, Pahang. - UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Penggunaan topi keledar berkualiti tinggi yang menepati piawaian keselamatan mampu mengurangkan risiko kecederaan kepala sehingga 70 peratus jika berlaku kemalangan.

Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook menegaskan, hanya topi keledar yang tulen dan diluluskan oleh Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) dapat memberikan perlindungan maksimum kepada penunggang dan pembonceng motosikal.

“Keselamatan di jalan raya bukan sekadar tanggungjawab individu tetapi amanah bersama. Penunggang motosikal dinasihatkan untuk menggunakan topi keledar berkualiti bagi memastikan keselamatan mereka terjamin,” katanya dalam Program Pertukaran Topi Keledar Bersama Penduduk Jerantut di sini hari ini.

Siew Foke berkata, sebagai langkah proaktif, sebanyak 500 unit topi keledar berkualiti tinggi diagihkan secara percuma kepada penduduk Jerantut dalam program tersebut.

Menurutnya, inisiatif itu adalah usaha Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi meningkatkan kesedaran tentang kepentingan penggunaan peralatan keselamatan yang mematuhi piawaian.

Beliau turut mengingatkan semua pengguna jalan raya supaya lebih berwaspada terutama menjelang musim perayaan Aidilfitri yang bakal tiba.

“Bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sepanjang musim perayaan, JPJ akan memperketatkan penguatkuasaan terhadap sembilan kesalahan utama menerusi Ops Khas Hari Raya Aidilfitri 2025, yang bermula 24 Mac hingga 8 April di seluruh negara,” katanya.

Menurutnya, rondaan bersepadu akan dilakukan di lokasi panas kemalangan yang dikenalpasti di seluruh negara pada musim perayaan ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN