KANGAR: Insiden sebuah kenderaan yang tersangkut pada struktur besi di lokasi pemasangan sistem parkir pintar, di sini, telah dikenalpasti berpunca daripada tindakan vandalisme oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Snatch-P yang merupakan penyedia sistem pengurusan parkir pintar dilantik oleh Majlis Perbandaran Kangar (MPK) memaklumkan bahawa siasatan kejadian itu telah dijalankan oleh pihaknya selepas insiden berkenaan tular laman sosial.
Eksekutif Senior (Operasi Perniagaan) Snatch-P, Peter Haw berkata, terdapat kesan vandalisme pada peralatan pembinaan parkir pintar itu yang mengakibatkan kejadian tidak diingini kepada pengguna lain.
“Snatch-P menyeru supaya semua pihak tidak melakukan kegiatan vandalisme di kawasan parkir berpalang projek ini.
“Kejadian ini berlaku akibat vandalisme sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengguna jalan raya dan kami sangat bersimpati terhadap yang pihak terlibat dalam kejadian itu,” katanya semalam.
Katanya, bagi menangani isu tersebut, Snatch-P telah mengambil langkah proaktif dengan meletakkan kon keselamatan di kawasan parkir pintar terlibat.
Ujarnya, langkah itu adalah bagi meningkatkan visual yang jelas dan mengurangkan risiko kemalangan sama berulang.
“Selain itu, pendekatan ini juga bertujuan bagi menjaga keselamatan pengguna dan memastikan kelancaran aliran lalu lintas di kawasan tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, Snatch-P memaklumkan terdapat dua jenis sistem yang akan diperkenalkan dalam perlaksanaan parkir pintar MPK iaitu License Plate Recognition (LPR) dan Sistem Baylock.
Katanya, kedua-dua sistem ini adalah mesra alam dan tidak menggunakan tiket atau kertas fizikal.
“Projek Parkir Pintar ini dalam fasa pemasangan dan fasa pengujian akan bermula sekitar minggu kedua bulan April ini, malah ia juga dijangka beroperasi sepenuhnya pada 1 Mei depan dengan kadar caj RM0.60 sejam mengikut warta pihak MPK.
“Selain itu, penggunaan teknologi berasaskan Internet of Things (IoT) dalam sistem ini juga adalah selaras dengan saranan kerajaan Persekutuan bagi mempertingkatkan kecekapan dan kelestarian pengunaan teknologi pintar untuk pengurusan parkir,” katanya.-UTUSAN