Tiga parti Melayu boleh bentuk kerajaan baharu jika UMNO terbuka, sedia bergabung - Hamzah - Utusan Malaysia

Tiga parti Melayu boleh bentuk kerajaan baharu jika UMNO terbuka, sedia bergabung – Hamzah

BEKAS pemimpin MCA, Datuk Leong Kim Soon (empat kanan) menyampaikan borang keahlian baharu Bersatu kepada Hamzah Zainudin pada majlis Iftar Bersatu Bahagian Bentong di Janda Baik di Bentong, Pahang. - FOTO/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Tiga parti Melayu berpotensi membentuk kerajaan baharu pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) jika wujud keterbukaan dalam kalangan pemimpin UMNO untuk bergabung dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas.

Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, sekiranya UMNO bersedia bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN), gabungan tersebut mampu memperoleh sokongan mencukupi bagi menubuhkan kerajaan tanpa perlu bergantung kepada pihak lain.

“Memang betul. Kalau hari ini pemimpin UMNO benar-benar terbuka, mereka boleh bergabung dengan kita dan membentuk kerajaan.

“Pada PRU15 lalu, kita sudah ada 104 kerusi, hanya memerlukan lapan lagi untuk mendapat majoriti. Tetapi UMNO lebih memilih untuk bersama dengan Anwar Ibrahim kerana merasakan lebih menguntungkan mereka ketika itu. Sebab itu mereka tidak sanggup bekerjasama dengan kita.

“Namun, jika UMNO sedia berunding, tidak ada salahnya untuk duduk semeja dan membincangkan masa depan negara yang lebih baik. Kita mahukan negara yang harmoni, bukan perpecahan,” katanya ketika berucap pada Majlis Iftar Bersatu Bahagian Bentong di Janda Baik di sini hari ini.

Semalam, penganalisis politik, Mujibu Abd Muis dilaporkan berkata, kerjasama tiga parti Melayu iaitu UMNO, Bersatu dan Pas mampunmenumbangkan Kerajaan Perpaduan pada PRU16 sekiranya tiga parti tersebut memilih untuk bergabung.

Mengulas lanjut, Hamzah menegaskan, perjuangan UMNO sepatutnya bukan hanya tentang kuasa tetapi juga memerdekakan pemikiran rakyat supaya keputusan politik tidak hanya menguntungkan kelompok elit semata-mata.

“UMNO asalnya berjuang untuk kemerdekaan, tetapi hampir 70 tahun, mereka seharusnya memerdekakan pemikiran politik dan mempertimbangkan kepentingan rakyat di semua peringkat,” katanya.

Tegasnya, Bersatu pula ditubuhkan dengan tanggungjawab melihat kedudukan rakyat secara keseluruhan, bukan untuk segelintir pihak sahaja.

“Sebab itu, jika ada keterbukaan, tidak salah untuk duduk berbincang tentang perjuangan bersama demi kestabilan politik negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN