KOTA BHARU: Tiga kanak-kanak antara 16 pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Indonesia yang ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan menerusi Ops Sapu di Tanah Merah dan Jeli hari ini.
Pengarahnya Mohamed Yusoff Khan Mohd. Hassan berkata, kanak-kanak yang ditahan itu masing-masing berusia antara satu hingga tiga tahun.
“Bertindak atas maklumat risikan sepasukan anggota bersama 16 pegawai dari Bahagian Penguatkuasaan Imigresen telah melakukan serbuan di kawasan rumah kongsi kilang papan dekat Batang Merbau (Tanah Merah) dan Ayer Lanas (Jeli)
“Hasilnya, kita menahan 11 lelaki, wanita (2) dan kanak-kanak (3). Kesemua warga asing dewasa yang ditahan itu berusia di antara 30 hingga 60 tahun,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Mohamed Yusoff Khan memberitahu, kesemua PATI dibawa ke Depot Imigresen Tanah Merah untuk siasatan lanjut.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.-UTUSAN