Tidak sempat hantar makanan buat nenek, remaja maut dirempuh kereta - Utusan Malaysia

Tidak sempat hantar makanan buat nenek, remaja maut dirempuh kereta

ROSALIAH Diego, 26, menunjukkan gambar Muhammad Aidil Ramdan Abdullah, 15, ketika ditemui di pekarangan Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau, semalam. – UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Hasrat seorang remaja untuk menghantar makanan kepada neneknya tidak kesampaian apabila maut dalam nahas selepas dirempuh kereta dalam kejadian di persimpangan lampu isyarat, Jalan Persiaran Se­nawang 1 berhampiran Taman Matahari Height, Senawang, Seremban, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu, Muhammad Aidil Ramdan Abdullah, 15, yang menunggang motosikal Modenas Kriss dan pembonceng, Muhammad Aswari Lotpi, 16, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Menurut ibu saudara Muhammad Aidil Ramdan, Rosaliah Diego, 26, anak saudaranya ada menghantar pesanan WhatsApp kepada ibunya iaitu nenek kepada mangsa yang memaklumkan mahu membeli makanan terlebih dahulu di Se­nawang sebelum menghantarnya ke rumah.

“Ibu saya, Rahimah Julieto tertunggu-tunggu tetapi cucunya masih tidak sampai. Seorang lagi anak saudara saya iaitu adik kepada Muhammad Aidil Ramdan iaitu Muhammad Asraf Adha Abdullah, 13, yang membonceng sebuah lagi motosikal yang terbabit dalam kemalangan sama kini dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) selepas mengalami kecederaan parah.

“Ibu masih lagi terkejut de­ngan kejadian ini, abang dan kakak ipar saya juga masih bersedih. Muhammad Asraf kini di unit rawatan rapi (ICU) selepas menjalani pembedahan di HTJ dan masih tidak mengetahui abangnya sudah meninggal dunia, mereka hanya dua beradik, memang sangat rapat,” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau, di sini, semalam.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan iaitu sebuah kereta dan dua buah motosikal.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah kereta jenis Honda Jazz yang dipandu seorang lelaki berusia 18 tahun bersama seorang penumpang lelaki berusia 17 tahun sedang bergerak dari arah Senawang menuju ke Paroi.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, pemandu kereta Honda Jazz dipercayai telah gagal berhenti di lampu isyarat berwarna merah lalu melanggar dua buah motosikal yang datang dari arah sebelah kiri.

“Akibat kemalangan ini, penunggang dan pembonceng motosikal jenis Modenas Kriss ma­sing-masing berusia 15 dan 16 tahun yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.

Tambah beliau, nahas ber­ke­na­an kini disiasat bawah lima sek­syen Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 termasuk Seksyen 41(1) APJ 1987 iaitu menyebabkan ke­matian kerana memandu de­ngan melulu atau membahayakan.

Selain itu kes turut disiasat di bawah Seksyen 26(1) APJ 1987 membabitkan kesalahan tiada lesen memandu dan membenarkan orang lain memandu kenderaan dan di bawah Seksyen 39(5) APJ 1987 iaitu membenarkan mana-mana orang bawah umur memandu.

Sementara itu, pemandu kereta, Muhammad Aidid Nuqman Norizan, 18, serta penum­pang kereta, Muhammad Ameer Ikhwan Mohd Azril, 17, yang mengalami kecederaan parah dan dirawat di HTJ.

Penunggang sebuah lagi motosikal, Aisar Azim Abdullah, 17, yang cedera masih dirawat di zon merah HTJS.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya