Tewas 0-3, Penang FC nyata bukan tandingan JDT

Tewas 0-3, Penang FC nyata bukan tandingan JDT

PEMAIN JDT, Eddy Israfilov (tengah) menanduk bola masuk ke gawang Penang FC untuk gol kedua pelawat ketika aksi Liga Super di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, malam tadi.-GAMBAR/JOHOR SOUTHERN TIGERS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Hasrat Penang FC untuk menggugat penguasaan juara Liga Super 11 kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak kesampaian apabila tewas 0-3 di Stadium Bandaraya, sebentar tadi.

Bermula garang, pelawat hampir di depan seawal minit pertama perlawanan akibat kesilapan pemain pertahanan tuan rumah, Richmond Ankrah.

Bagaimanapun, jentera serangan JDT yang diterajui gandingan Bergson da Silva dan Romel Morales gagal memanfaatkan peluang yang terhidang ketika itu.

Gol yang dicari juara bertahan Liga Super itu akhirnya menjelma pada minit ke-20 menerusi pemain tengah mereka, Eddy Israfilov.

Gol berpunca daripada satu sepakan penjuru dan Israfilov yang tidak dikawal dengan kemas mudah melonjak tinggi sebelum menanduk bola tersebut menerjah ke arah gawang Penang FC.

Jaringan tersebut seterusnya berjaya meniup semangat pemain-pemain JDT untuk terus menggandakan asakan ke kubu tuan rumah.

Hasilnya, Israfilov sekali lagi mencipta nama selaku penjaring dengan gol kedua juga melalui tandukan hasil sepakan sudut pada minit ke-27.

JDT berpeluang untuk menjaringkan gol ketiga sepuluh minit berselang apabila dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil perlawanan, Suhaizi Shukri. Namun, rembatan Bergson berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Penang FC, Sikh Izhan.

Masuk babak kedua, tuan rumah cuba memberi saingan dengan melancarkan beberapa serangan ke kubu pelawat khususnya menerusi penyerang, Dylan Wenzel-Halls.

Bagaimanapun, benteng pertahanan JDT terlalu ampuh untuk dirobek oleh anak-anak buah Wan Rohaimi Wan Ismail.

Sebaliknya, JDT kembali mendominasi permainan dan berjaya memperoleh gol ketiga menerusi rembatan leret pemain tengah mereka, Heberty Fernandes yang menerima umpanan Morales hasil gerakan menarik pemain kebangsaan, Arif Aiman Mohd Hanapi pada minit ke-54.

Gol tersebut kekal sehingga wisel penamat ditiupkan sekaligus menyaksikan tuan rumah, Penang FC kini kekal di tangga kesembilan liga dengan 20 mata iaitu sama mata dengan dua lagi pasukan, Sri Pahang FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya