LIPIS: Guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di Pahang meluahkan rasa syukur dan terharu atas keprihatinan kerajaan negeri menyalurkan sumbangan RM300 kepada mereka.
Guru KAFA, Aisyah Abu Bakar, 31, berkata, bantuan itu begitu bermakna buat dirinya dan rakan-rakan guru yang lain sebagai persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba.
“Dengan sumbangan kerajaan negeri berikan sebanyak RM300, kami sangat berterima kasih dan dapat membantu (persiapan) raya tidak lama lagi, insya-Allah.
“Kami mewakili guru KAFA ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana ‘memandang’ guru KAFA walaupun kami bukan berjawatan kontrak dan hanya dibayar elaun,” katanya ketika ditemui di sini.
Seorang lagi guru KAFA, Zaini Seman, 56, turut berkongsi kegembiraannya menerima bantuan tersebut yang disifatkan sebagai mencukupi untuk persiapan menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.
“Gembira sangat. Bolehlah membantu untuk persiapan raya. Terima kasih banyak-banyak, Alhamdulillah,” katanya.-UTUSAN.