KOTA BHARU: Rakyat negeri ini dinasihatkan supaya menangguhkan hasrat untuk berkunjung ke Selatan Thailand buat sementara waktu susulan letupan bom dan insiden berbalas-balas tembakan yang berlaku di beberapa lokasi sekitar pekan Golok, malam tadi.
Ketua Polis negeri Datuk Mohd. Yusoff Mamat bagaimanapun, penduduk yang mempunyai urusan penting dan tidak dapat dielakkan dinasihatkan supaya berhati-hati sepanjang berada di negara berkenaan.
Menurutnya, hal ini ada dalam kalangan penduduk Kelantan yang masuk ke Selatan Thailand termasuk di pekan Golok untuk berbuka puasa sepanjang Ramadan.
“Saya tidak boleh halang mereka (orang ramai) dari berkunjung ke sana (Selatan Thailand). Cuma berhati-hatilah dengan situasi serta keadaan ketika ini.
“Sebagaimana nasihat saya sebelum ini, tangguhkan dahulu perjalanan ke Selatan Thailand kerana keadaan masih ‘panas’ dengan kejadian letupan bom sejak kebelakangan ini,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Media semalam melaporkan, dua anggota sukarelawan pertahanan terkorban manakala lapan cedera dalam insiden letupan bom di Daerah Sungai Golok, Thailand semalam.
Dalam kejadian pukul 7 malam itu (waktu tempatan) sekumpulan lelaki bersenjata menaiki dua kenderaan pacuan empat roda menyerang Pejabat Daerah Sungai Golok.
Timbalan Ketua Polis Sungai Golok, Leftenan Kolonel Pol Nitti Suksang, mengesahkan kumpulan itu melepaskan tembakan dan melontar bom tangan ke arah sukarelawan pertahanan yang sedang bertugas.
“Dalam serangan itu, dua anggota sukarelawan pertahanan meninggal dunia di tempat kejadian manakala tiga cedera parah dan lima cedera ringan.
“Kesemua mangsa yang cedera kini menerima rawatan di Hospital Sungai Golok,” katanya.-UTUSAN