TEMERLOH: Seorang lelaki terpaksa menyambut Hari Raya Aidilfitri dalam tirai besi selepas dihukum penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini setelah mengaku bersalah menampar isterinya dua kali pada 8 Januari lalu.
Tertuduh, Shahrul Irzuan Alwi, 38, yang dituduh kali pertama atas kesalahan itu pada 18 Februari lalu menukar pengakuan kepada bersalah di hadapan Majistret Tan Chew King.
Tertuduh dikatakan menampar isterinya kerana mangsa membuat permohonan cerai kerana tidak tahan dengan sikap panas baran suaminya.
Menurut kertas pertuduhan, tertuduh kira-kira pukul 8.30 malam pada 8 Januari lalu di sebuah rumah di Felda Jenderak Utara Kuala Krau di sini dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas isterinya yang berusia 39 tahun dengan menampar pipi sebelah kanan.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama tempoh yang boleh sampai setahun atau dengan denda yang boleh sampai RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Adriana Azrin manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Nursyazwani Roslan.
Terdahulu dalam prosiding, Adriana meminta mahkamah mengenakan hukuman setimpal bagi memberikan pengajaran kepada tertuduh yang seharusnya melindungi isteri dan mengambil kira kecederaan mangsa.
Bagaimanapun Nursyazwani meminta hukuman diringankan kerana tertuduh yang kesal dengan perlakuannya sudah membuat pengakuan yang menjimatkan masa banyak pihak.
Tambahnya, rayuan minima kerana tertuduh yang bekerja kampung dengan pendapatan bulanan RM800 mempunyai enam tanggungan.
Mahkamah kemudiannya memutuskan hukuman penjara selama enam bulan terhadap tertuduh bermula tarikh dia ditahan. – UTUSAN