Syarikat perlu kesan pemilik Wang Tak Dituntut - Utusan Malaysia

Syarikat perlu kesan pemilik Wang Tak Dituntut

FARRA ROSLAND
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sesebuah syarikat atau firma itu perlu bertanggungjawab untuk me­ngesan pemilik Wang Tak Dituntut (WTD) sebelum menye­rahkannya kepada Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) bagi memastikan individu terbabit mendapat makluman lebih awal.

Presiden Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM), Farra Rosland berkata, langkah tersebut penting bagi menge­lakkan kelewatan dalam proses tuntutan dan memastikan pemilik wang mendapat hak mereka dengan lebih cepat.

Menurutnya, pendaftar WTD tidak bertanggungjawab untuk mencari pemiliknya, sebaliknya syarikat atau firma yang sepatutnya mengambil inisiatif mengenal pasti serta menghubungi individu ber­kenaan.

“Bagaimanapun, pihak JA­NM juga boleh memainkan peranan dalam mengesan pemilik WTD yang gagal dihubungi oleh pihak syarikat.

“Jabatan ini boleh bekerjasama dengan agensi lain seperti Jabatan Pendaftaran Negara untuk mendapatkan data terkini seperti nombor telefon atau alamat pemilik bagi tujuan pemakluman,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini dilaporkan, Kementerian Kewangan merekodkan baki Wang Tak Dituntut adalah sebanyak RM12.7 bilion sehingga 31 Januari lalu.

Sementara itu, Farra berkata, proses tuntutan WTD sebenarnya tidak sukar kerana setiap individu boleh menye­mak status mereka melalui laman sesawang rasmi atau hadir ke pejabat JANM.

“Setelah disahkan mempunyai WTD, mereka hanya perlu mengisi borang tuntutan, melampirkan salinan kad pengenalan dan menghantar permohonan kepada jabatan berkenaan.

“Selepas permohonan dihantar, proses tuntutan akan mengambil masa antara satu hingga tiga bulan sebelum pemilik menerima wang tersebut,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya