KLANG: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyampaikan watikah pelantikan kepada pengerusi, timbalan pengerusi dan anggota Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang baharu.
Baginda berkenan menyerahkannya kepada Datuk Salehuddin Saidin sebagai pengerusi baharu di Istana Alam Shah di sini, semalam.
Turut menerima watikah, Tan Sri Mazlan Mansor yang dilantik sebagai Timbalan Pengerusi MAIS dan dua anggota, Datuk Emran Kadir serta Tan Sri Mohd. Zawawi Salleh.
Pelantikan itu dibuat selaras peruntukan Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 yang menetapkan MAIS terdiri daripada pengerusi, timbalan pengerusi dan beberapa anggota lain berdasarkan kepakaran pelbagai bidang termasuk keilmuan Islam.
Keseluruhan anggota MAIS kini seramai 21 orang dan pelantikan berkuat kuasa mulai 1 Mac lalu hingga 31 Disember tahun depan.
Setiausaha MAIS, Dr. Ahmad Shahir Makhtar berkata, pelantikan itu membuktikan komitmen dalam mengukuhkan tadbir urus hal ehwal Islam di Selangor dan memastikan kepimpinan berwibawa dalam memacu kemajuan ummah.
“Kami mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua penerima watikah berkenaan. Semoga pelantikan itu dapat memperkukuhkan lagi usaha memartabatkan Islam dan membangunkan umat di negeri ini,” katanya.
Tambah beliau, MAIS diyakini akan terus memainkan peranan penting dalam memastikan kesejahteraan umat Islam di selaras dengan prinsip syariah dan titah Sultan Selangor sebagai Ketua Agama Islam Negeri. – UTUSAN