KLANG: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menghadiri majlis berbuka puasa bersama warga Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di atas Kapal Diraja (KD) Terengganu dan KD Pahang, semalam.
Ketibaan baginda yang juga Kapten Yang Dipertua TLDM disambut Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Dr. Zulhelmy Ithnain di Pangkalan TLDM Pulau Indah di sini, kira-kira pukul 6.40 petang.
Hadir sama, Orang Besar Daerah Klang, Datuk Setia Mohammed Khusrin Munawi dan Datuk Bandar Klang, Datuk Abd. Hamid Hussain.
Sultan Sharafuddin turut berkenan menyampaikan sumbangan Ramadan kepada warga asnaf dan mualaf serta menyaksikan upacara ‘Sunset Ceremony’ di atas KD Terengganu.
Baginda kemudian menunaikan solat Maghrib, Isyak dan sunat tarawih
bersama kira-kira 300 warga TLDM.
Keberangkatan Sultan Sharafuddin menyemarakkan semangat anggota TLDM untuk terus komited menjalankan tugas dan amanah melindungi kedaulatan maritim sekaligus menjaga keamanan negara. – UTUSAN