TUMPAT: Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai lebih RM1.2 juta dipercayai untuk stok Hari Raya Aidilfitri selepas menyerbu sebuah premis yang dijadikan sebagai stor penyimpanan barangan itu di Kampung Bunohan, di sini semalam.
Dalam serbuan pukul 6.45 petang itu, pasukan risik dan khas Briged Tenggara PGA turut menahan seorang lelaki berusia 31 tahun bagi membantu siastan berkaitan rampasan tersebut.
Komandernya Datuk Nik Ros Azhan Ab. Hamid berkata, hasil pemeriksaan di dalam premis berkenaan telah menjumpai kotak-kotak yang mengandungi pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai lebih RM1.22 juta.
Menurutnya, PGA turut sita sebuah lori bernilai RM180,000 yang dipercayai digunakan untuk mengangkut barang tersebut.
“Kejayaan itu merupakan rampasan mercun dan bunga api terbesar yang dilakukan oleh pihak kami (Briged Tenggara PGA) bagi tahun ini.
“Kita tidak menolak kemungkinan, stor ini dijadikan sebagai transit sebelum diedarkan ke pasaran. Rampasan itu dilakukan kerana melanggar syarat penyimpanan yang telah dikeluarkan oleh polis,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Nik Ros Azhan memberitahu, suspek dan barangan rampasan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat untuk tindakan selanjutnya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.-UTUSAN