KOTA BHARU: Taktik menjadikan rumah sewa di Kampung Peringat di sini, sebagai stor penyimpanan lebih 3.2 juta batang rokok seludup terbongkar selepas diserbu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan pada 19 Februari lalu.
Dalam serbuan pukul 11.30 malam itu, kesemua rokok tersebut ditemukan hasil pemeriksaan yang dilakukan di atas rumah dan kenderaan pelbagai guna mewah jenis Toyota Vellfire.
Pengarah JKDM Kelantan Wan Jamal Abdul Salam Wang Long berkata, hasil pemeriksaan yang dilakukan di atas rumah itu membawa kepada penemuan lebih 3.19 juta batang rokok.
“Pemeriksaan kemudian diteruskan ke atas Toyota Vellfire dan pijak kami telah menjumpai 30,000 batang rokok seludup,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Wan Jamal Abdul Salam memberitahu, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berkaitan rampasan rokok tersebut.
Katanya, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
“Jadi, kami (JKDM) menyeru orang ramai supaya membantu pihak JKDM memerangi Jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah kenderaan dan lain-lain.
“Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil, malah ianya turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat,” ujarnya.-UTUSAN