Sistem parkir pintar tidak undang kesesakan, lebih mudahkan pengguna - Utusan Malaysia

Sistem parkir pintar tidak undang kesesakan, lebih mudahkan pengguna

AFFENDI Rajini Kanth beramah mesra bersama peniaga semasa sesi ‘walkabout’ di bazar Ramadan Arau, Perlis semalam.-UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Sistem parkir pintar yang dilaksanakan di negeri ini tidak akan mengundang kesesakan sebaliknya lebih memudahkan pengguna sekali gus bakal merealisasikan konsep bandar pintar di Perlis.

Sistem parkir pintar merupakan sebahagian daripada inisiatif Majlis Perbandaran Kangar (MPK) ke arah kemajuan di negeri ini dan menerusi fasa pertama ia melibatkan 6,000 tapak parkir di seluruh Perlis yang dijangka berkuat kuasa selewat-lewatnya awal bulan depan.

Yang Dipertuanya, Affendi Rajini Kanth berkata, pelaksanaan sistem parkir pintar telah melalui kajian yang agak lama sebelum direalisasikan selepas meneliti pelbagai aspek.

Katanya, di media sosial khususnya ada yang mendakwa sistem berkenaan tidak sesuai serta bakal mengundang kesesakan berikutan keadaan berpalang dan sebagainya.

Ujar beliau, namun sebenarnya, mereka masih belum jelas bahawa sistem berkenaan bakal memberi lebih kemudahan.

“Sistem parkir pintar ini bukan sekadar berpalang yang perlu meletakkan kad dan sebagainya sebaliknya ia akan mengesan melalui nombor pendaftaran kenderaan sahaja dan apabila sudah masuk, proses tidak sampai 10 saat. Ia akan menggunakan aplikasi mudah alih untuk pembayaran caj parkir secara digital.

“Dengan aplikasi ini, pengguna hanya perlu masuk ke petak parkir yang disediakan dan sistem automatik akan mengesan kenderaan mereka. Untuk keluar, bayaran hanya perlu dibuat terlebih dahulu menerusi aplikasi atau kad debit sebelum palang dibuka semula.

“Malah, mereka yang memakir kenderaan di bawah 15 minit adalah percuma. Saya harap kita tidak halang kemajuan ini untuk kebaikan negeri dan ke arah Perlis menjadi bandar pintar,” katanya ketika ditemui selepas sesi ‘walkabout’ bazar Ramadan Arau, semalam.

Katanya, semasa sistem itu belum dilaksana, ramai yang asyik bertanya dan apabila dilaksanakan dibangkitkan pula soal kesesakan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Asrul Aimran Abd Jalil berkata, sebuah
syarikat telah dilantik melaksanakan projek itu dan proses pemasangan peralatan bermula di beberapa lokasi strategik di negeri ini.

“Syarikat yang dilantik telah memulakan pemasangan peralatan dan sistem di kawasan utama dengan jangkaan fasa awal siap secara berperingkat menjelang April ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN