Singgah sahur Unimap, PWP selami pengorbanan petugas barisan hadapan

Singgah sahur Unimap, PWP selami pengorbanan petugas barisan hadapan

Pix ZALIMAN Sauli (tengah) dan ahli PWP bergambar bersama anggota PGA sempena program singgah sahur bagi menyantuni petugas barisan hadapan di negeri ini di kem PGA Padang Besar, Perlis semalam.-UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Ketibaan Ramadan setiap tahun amat dinanti seluruh umat Islam di negara ini khususnya apabila berpeluang berbuka puasa dan bersahur bersama ahli keluarga.

Bagaimanapun, tidak semua mempunyai kesempatan itu, antaranya petugas barisan hadapan yang berkhidmat untuk negara demi memastikan keamanan seluruh masyarakat.

Menghargai pengorbanan anggota keselamatan itu, Universiti Malaysia Perlis (Unimap) bersama Persatuan Wartawan Perlis (PWP) melaksanakan program singgah sahur bagi menyantuni petugas barisan hadapan di Perlis.

Program tersebut bermula di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail, di sini, pada pukul 11 malam dan menuju ke sembilan destinasi bagi mengedarkan sebanyak 350 pek makanan sebagai juadah sahur buat petugas.

Antara destinasi yang disinggahi adalah Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Arau, Pos Kawalan Unimap, Pos Sekatan Jalan Raya Pasukan Gerakan Am (PGA) Chuping, Kem PGA Padang Besar dan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar.

Selain itu, destinasi lain yang turut disinggahi adalah Pos Sekatan PGA Sungai Chuchuh, Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Pejabat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis.

Naib Canselor Unimap, Prof. Datuk Dr Zaliman Sauli berkata, program itu bertujuan menghargai peranan pasukan barisan hadapan yang bertugas tanpa mengira waktu bagi memastikan keamanan dan kesejahteraan seluruh masyarakat di negara ini.

“Menerusi program ini, kita telah singgah di balai bomba, pos keselamatan dan hospital yang sentiasa bersiap siaga menjaga keselamatan negara supaya rakyat dalam keadaan selesa,” katanya.

Sementara itu, Kompeni Komander, Kompeni C PGA Padang Besar, Asisten Superintendan (ASP) Mior Abdul Khalil Abdul Azid berkata, pelaksanaan program itu sedikit sebanyak memberi sokongan moral buat anggota keselamatan yang bertugas di kem berkenaan.

Katanya, sokongan itu turut memberi iltizam buat anggota keselamatan untuk terus menjaga sempadan negara daripada dicerobohi sebarang anasir yang tidak diingini.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Unimap dan PWP kerana menghargai tugas kami serta memberi sokongan moral buat anggota bertugas,” katanya.

Presiden PWP, Syed Azlan Sayid Hizar pula berkata, program berkenaan sebagai
penghargaan buat pasukan petugas barisan hadapan di atas pengorbanan mereka demi menjaga keselamatan negara.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya